ISKANDAR PUTERI : Kerajaan negeri disaran menggunakan kepakaran universiti tempatan di Johor untuk membangunkan data raya bagi mengumpulkan maklumat berkaitan rakyat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parit Yaani, Aminolhuda Hassan berkata, isu kelemahan pengumpulan data sewajarnya tidak berlaku memandangkan negeri ini mempunyai dua universiti tempatan.
Katanya, kerajaan negeri juga tidak sepatutnya hanya bergantung kepada jabatan dan agensi di peringkat persekutuan untuk mendapatkan data.
“Sepatutnya kerajaan negeri sudah lama mengunakan kepakaran Universiti Teknologi Malaysia ( UTM) dan Universiti Tun Hussien Onn (UTHM) untuk membangunkan pengumpulan data.
“Data ini merangkumi pelbagai maklumat antaranya jumlah rakyat di bawah kemiskinan sekali gus memudahkan perancangan kerajaan negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di sini hari ini.
Katanya, Pakatan Harapan (PH) sewaktu memegang kerajaan negeri pernah merancang untuk melaksanakan pengumpulan data melibatkan kerjasama UTM dan UTHM.
Namun, cadangan tersebut tidak dapat diteruskan selepas kerajaan negeri bertukar tampuk pemerintahan pada Febuari tahun ini.
“Diharapkan kerajaan negeri ini dapat memanfaatkan cadangan ini kerana ia dapat memberi pulangan kepada kerajaan negeri dalam kecekapan pengumpulan data,” katanya. -UTUSAN ONLINE