ISKANDAR PUTERI: Johor mempunyai 4,566 tapak wakaf di seluruh negeri dengan jumlah keluasan tanah seluas 5,408 hektar.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Tosrin Jarvanthi berkata, daerah Johor Bahru mencatatkan jumlah bilangan tanah wakaf tertinggi iaitu sebanyak 858 tapak diikuti Batu Pahat dengan 834 tapak dan Muar, 606 tapak.
“Dalam memastikan tapak wakaf ini tidak terbiar, Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) melantik Nazir Khas di Johor untuk memajukan tapak wakaf yang sedia ada.
“Nazir Khas yang dilantik ialah Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Perbadanan Islam Johor (PIJ), Waqaf An-Nur Corporation Berhad (WANCorp) dan Kolej Pengajian Islam Johor (MARSAH),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Najib Lep (PAS-Bukit Pasir) yang ingin jumlah keluasan tanah wakaf dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Tosrin berkata, MAINJ dalam perancangan untuk membangunkan Sistem maklumat tanah wakaf berasaskan sistem maklumat geografi (GIS) bagi memudahkan pengurusan tanah wakaf.
Katanya, GIS adalah sistem maklumat lengkap yang memaparkan data terkini berhubung dengan lokasi kedudukan tanah wakaf, keadaan fizikal tanah dan keluasan sebenar.
“Sistem maklumat ini bukan sahaja menyimpan rekod terkini berhubung dengan tanah wakaf malah membolehkan pihak pentadbir menjalankan perancangan atas tanah wakaf secara lebih cekap dan teratur,” katanya. – UTUSAN ONLINE