PUTRAJAYA: Pihak polis diminta menyiasat penglibatan parti politik dan sekutunya yang didakwa bersekongkol dengan pihak kartel daging sejuk beku untuk terus menguasai pasaran negara ini.
Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Hamdan Salleh berkata, ini termasuk pembabitan ahli politik dipercayai turut bekerjasama dengan pihak kartel itu dengan cara menghalang tertubuhnya syarikat Melayu bumiputera di bawah kerajaan seperti National Feedlot Coorperation (NFC).
Menurut beliau, ini merupakan satu usaha dan pakatan yang sangat jahat membabitkan mereka bagi usaha untuk mengekang pasaran industri daging tempatan terus berkembang.
“Persekongkolan ini adalah satu tindakan bagi menjatuhkan NFC.
“Asas kepercayaan mengenai perkara ini, pihak JMM sedia bekerjasama dengan semua pihak berkuasa bagi pembongkaran isu ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Balai Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur, hari ini.
Dalam pada itu, Hamdan berkata, pihak JMM berharap agar tindakan tegas harus dilakukan dan kertas siasatan perlu dibuka segera kerana isu ini juga ada kaitan dengan polemik isu daging sejuk beku ketika ini.
Sebelum ini, Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli paling lantang menentang NFC sehingga pernah didakwa melakukan pendedahan empat akaun bank berkaitan NFC dan Pengerusinya, Datuk Seri Dr. Mohamad Salleh Ismail.
Walau bagaimanapun, Mahkamah Tinggi pada 2019 membebaskan Rafizi terhadap hukuman penjara 30 bulan membabitkan kes mengikut Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan (BAFIA).
Keputusan itu dibuat selepas Rafizi membuat rayuan terhadap sabitan hukuman penjara yang dikenakan terhadapnya oleh Mahkamah Sesyen pada 7 Februari 2019. – UTUSAN