IPOH: Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak berjaya menyelesaikan 685 daripada 705 aduan berkaitan kerosakan jalan yang berlaku di seluruh negeri Perak.
Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad berkata, di daerah Kinta yang menerima aduan tertinggi, JKR sudah memperbaiki 321 daripada 329 aduan kerosakan yang diterima.
“(Di Kinta) kita sudah capai 94.69 peratus penyelesaian, manakala di Kuala Kangsar 27 daripada 28 aduan diselesaikan manakala di daerah Kampar 14 daripada 15 aduan sudah diperbaiki.
“Tahniah kepada JKR Perak yang ambil tindakan segera dari semasa ke semasa, jika ada aduan dan jalan rosak kita akan ambil tindakan segera,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyampaian Bantuan Khas Mahasiswa Terkesan Covid-19 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini hari ini.
Isu membabitkan aduan jalan rosak yang tidak diambil peduli JKR tular selepas Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin cedera ringan selepas terjatuh dari basikal akibat terlanggar lubang jalan ketika berbasikal berhampiran Kampung Sri Cheeding, Banting, Selangor kelmarin.
Insiden itu menerima kecaman netizen kerana berikutan tindakan pantas dilakukan JKR memperbaiki keadaan jalan berkenaan selepas melihat ciapan Twitter Khairy malah meminta maaf atas kejadian berkenaan, namun tidak mengendahkan aduan rakyat biasa.
Khairy dalam ciapan dalam laman Twitternya hari ini turut menjelaskan tujuan beliau memuat naik insiden terjatuh ketika berbasikal menerusi Twitter adalah untuk memberi peringatan kepada pengguna jalan lain dan tidak menyangka ciapannya mendapat perhatian JKR.
Sementara itu, mengulas tindakan individu yang bertindak membaiki sendiri laluan yang rosak berikutan tindakan pembaikan yang lewat oleh pihak berkuasa, Saarani berkata, perkara itu tidak sepatutnya berlaku.
“Semua pihak diminta tidak mengambil tindakan sendiri kerana ia dikhuatiri dibuat tidak mengikut spesifikasi dan akan membahayakan pengguna yang lain,” katanya.
Terdahulu, seramai 1,200 mahasiswa yang terkesan akibat Covid-19 menerima bantuan berkenaan yang akan diagihkan mengikut fasa dengan 551 mahasiswa menerima pada fasa pertama manakala 649 lagi akan menerima bantuan pada fasa kedua.
Setiap mahasiswa akan menerima bantuan sebanyak RM150 setiap orang dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM200,000 yang disalurkan melalui transaksi dalam talian.
Saarani berkata, kerajaan negeri amat prihatin dengan situasi semasa yang berlaku dan akan terus membantu bagi memastikan kebajikan rakyat diutamakan. – UTUSAN