KOTA TINGGI : 13 penghuni di empat buah rumah teres di Taman Bayu Damai Pengerang di sini hilang tempat tinggal selepas kediaman mereka terlibat kebakaran semalam.
Komander Operasi, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Nazri A. Wahab berkata pihak bomba menerima panggilan kecemasan kebakaran rumah itu pada pukul 11.55 malam.
Katanya, seramai 33 anggota dari Balai Bomba Penyelamat (BBP) Punggai, BBP Sungai Rengit, BBP Sebana Cove dan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Sungai Rengit dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Rumah pertama tiada penghuni, rumah kedua terdapat tiga orang, rumah ketiga enam orang dan rumah keempat empat orang.
“Dalam kejadian tersebut, penghuni di rumah kedua yang terlebih dahulu menyedari kebakaran itu sebelum bertindak mengejutkan jiran serta keluarganya bagi menyelamatkan diri dan terus menghubungi pihak bomba bagi mendapatkan bantuan.
“Pihak bomba mengambil masa klira-kira 30 minit bagi mengawal kebakaran dan kesan kebakaran telah memusnahkan rumah pertama dan kedua sebanyak 90 peratus,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, rumah ketiga pula terbakar 50 peratus manakala rumah keempat terjejas sebanyak 15 peratus.
Katanya kebakaran turut melibatkan kesan jelaga pada sebuah rumah dibahagian belakang kawasan kebakaran.
“Kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya dan tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa.
“Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan. Operasi ditamatkan pada pukul 1.46 pagi,” katanya. -UTUSAN ONLINE