MELAKA: Suasana suram dan hiba menyelubungi perkarangan rumah keluarga kepada tiga beradik yang terkorban dalam kemalangan jalan raya sebaik tiba di Taman Seri Jati, Batu Berendam, di sini, malam ini.
Tiga buah van jenazah yang membawa ketiga-tiga beradik itu tiba dari Ipoh, Perak pada pukul 10 malam selepas bertolak dari Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), petang tadi.
Jenazah tiga beradik, Muhammad Adam Hakimi Muhammad Alhafiz, 7 dan dua adiknya, Muhammad Lutfi Hakim, 3, dan Muhammad Affan Hafiy yang berusia setahun di bawa ke kediaman tersebut untuk disolatkan.
Jenazah mereka kemudian dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Putat, Batu Berendam untuk dikebumikan dalam satu liang lahad.
Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam dan beberapa pemimpin masyarakat turut menunggu ketibaan jenazah sebelum bersama-sama menyertai solat jenazah.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.45 petang di Kilometer 272.5, Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran Gunung Lang, tiga beradik itu bersama ibu mereka, Nur Aimi Nadiah Abdul Rahim, 27, dalam perjalanan pulang ke Pulau Pinang.
Nur Aimi yang memandu Perodua Axia dipercayai hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar sebuah treler yang rosak di lorong kecemasan di lokasi kejadian.-UTUSAN ONLINE