KUALA TERENGGANU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan mengumumkan jenama daging sejuk beku yang memalsukan logo halal dalam masa terdekat.
Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata, langkah itu akan dilaksanakan secepat mungkin bagi menghilangkan keresahan pengguna.
“Kita faham ramai pengguna di luar sana bimbang untuk membeli daging sejuk beku yang berada di pasaran kerana isu daging haram yang didedahkan beberapa hari lalu.
“Kita akan minta pihak berkuasa memaklumkan jenama daging itu bagi merungkai kekeliruan pengguna,” katanya kepada pemberita selepas program ziarah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Manir di sini semalam.
Rabu lalu, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) mengetuai serbuan melibatkan sebuah syarikat yang menyeludup daging sejuk beku ke negara ini dan membungkus semula daging berkenaan dengan logo halal palsu.
Berdasarkan siasatan awal, daging sejuk beku yang diseludup masuk itu datang dari Brazil, China, Ukraine dan Argentina.
Rosol berkata, pihaknya memandang serius isu tersebut dan mahu pengguna lebih berhati-hati ketika membeli barangan walaupun terdapat logo halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada bungkusan.
Dalam perkembangan sama, beliau meminta pihak Jakim supaya melakukan penambahbaikan terhadap sijil halal supaya tidak mudah ditiru mana-mana pihak tidak bertanggungjawab.
“DIharapkan Jakim dapat mendigitalkan logo halal seperti mewujudkan kod QR bagi memudahkan pengguna mengimbas kod berkenaan dan mengenal pasti kesahihan logo halal yang terdapat pada produk di pasaran,” katanya. – UTUSAN ONLINE