Jangkaan kes meningkat tempoh 4 minggu - Utusan Malaysia

Jangkaan kes meningkat tempoh 4 minggu

DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jumlah positif Covid-19 dijangka meningkat dalam tempoh empat minggu ini.

Susulan itu, Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (PKRC MAEPS) 2.0 perlu diaktifkan semula  ekoran peningkatan kes positif ketara berikutan perluasan saringan ke atas pekerja khususnya warga asing di kilang dan juga tapak binaan. 

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kebanyakan kes positif itu adalah daripada kategori 1 (iaitu individu yang tidak bergejala) dan kategori 2 (iaitu pesakit yang bergejala ringan) di mana mereka dimasukkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah serta hospital.

“Selain itu, jumlah kes positif dijangkakan akan kekal tinggi susulan perluasan saringan atas pekerja warga asing yang juga dijalankan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di enam negeri iaitu Selangor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Sabah dan Labuan.

“Atas jangkaan terbabit, Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) mengaktifkan semula PKRC MAEPS 2.0 sebagai langkah kesiapsagaan bagi menghadapi isu peningkatan kes susulan perluasan saringan dalam kalangan pekerja warga asing dan juga peningkatan kes di Lembah Klang,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Mengulas lanjut mengenai PKRC MAEPS 2.0, Noor Hisham berkata, ia akan dibuka secara berfasa dengan kapasiti maksima sebanyak 1,000 buah katil. 

Katanya, fasa pertama bermula hari ini, dengan kapasiti sebanyak 650 buah katil yang kemudian akan ditambah secara berperingkat. 

“Ia akan menempatkan pesakit bukan warganegara yang sebelum ini diasingkan di Institut Latihan KKM (ILKKM) Sungai Buloh iaitu seramai 250 orang. 

“Malah, kita jangkaan bilangan pesakit akan meningkat minggu ini di mana dijangkakan seramai 400 orang pesakit baharu kategori 1 akan ditempatkan di fasiliti terbabit,”

Tambahnya, pentadbiran PKRC MAEPS 2.0 ini akan diletakkan di bawah kawalan Ketua Komander Wilayah Tengah iaitu Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Selangor. 

“Ia merupakan satu kolaborasi di antara Kementerian Kesihatan dengan pelbagai agensi Kerajaan yang lain termasuk Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba & Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan MAEPS sendiri,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN