PUTRAJAYA: Penjawat awam diminta membuat laporan sebarang salah laku termasuk kes rasuah membabitkan kakitangan awam bagi membendung ketirisan dalam organisasi masing-masing.
Justeru Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohd. Khairul Adib Abd. Rahman berkata, beliau menggalakkan penjawat awam yang ada maklumat kes salah laku supaya tampil membuat aduan kepada pihak berwajib.
“Usaha ini bagi mengelakkan salah guna kuasa di pelbagai peringkat (jawatan) tanpa mengira kedudukan,” katanya melalui kenyataan hari ini.
Beliau mengulas isu yang tular dilaporkan pihak media kebelakangan ini mengenai tekanan diterima penjawat awam dalam mengekang aktiviti rasuah di organisasi masing-masing.
Menjelaskan lanjut, Mohd. Khairul Adib berkata, pemberi maklumat sebenarnya ada pelbagai saluran untuk disampaikan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Ini ujar beliau, termasuk memberikan maklumat berkenaan terus kepada pihak Unit Integriti yang diwujudkan di setiap peringkat kementerian, jabatan atau agensi mereka bertugas.
“Maklumat pelapor dirahsiakan dan diberi jaminan butiran diberi kepada pihak berkuasa akan dilindungi, malahan hak keselamatan mereka dijaga mengikut peraturan sedia ada,” katanya.
Perkara itu jelas beliau, turut dinyatakan dalam Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 dan Akta Perlindungan Saksi 2009 bagi memastikan perlindungan setiap pelapor tersebut.
Semua penjawat awam tambah Mohd. Khairul Adib, bahkan adalah jelas tertakluk kepada Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 (P.U.A. 395/1993).
Beliau mengingatkan, sebarang pelanggaran kepada mana-mana peraturan termasuk tidak melaporkan salah laku pegawai terbabit sebenarnya boleh dikenakan tindakan tatatertib.
“JPA mengucapkan syabas kepada penjawat awam yang berani tampil ke hadapan bagi membendung salah laku tersebut, menunjukkan mereka ada integriti sangat tinggi,” katanya.
Langkah itu boleh menjadi contoh kepada penjawat awam lain selain JPA turut mengucapkan tahniah kepada SPRM serta agensi penguatkuasaan lain atas tindakan proaktif mereka.
Aktiviti berterusan itu katanya, demi memastikan amalan rasuah dapat dibanteras secara menyeluruh sekali gus meningkatkan integriti dan tadbir urus baik dalam perkhidmatan awam sendiri.- UTUSAN ONLINE