KLANG: Jalan raya yang rosak, bertampal, tidak rata dan pasti akan bertakung sekiranya hujan.
Itulah situasi yang sedang dihadapi pengguna jalan raya ketika ini termasuk kemungkinan besar terlibat kemalangan jika terlanggar jalan rosak dan lubang yang wujud di tengah-tengah jalan raya.
Mangsa terbaharu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin dilaporkan mengalami kecederaan selepas basikal ditunggangnya melanggar lubang dalam kejadian di Seri Cheeding, Banting dekat sini, Ahad lalu.
Bukan itu sahaja, baru-baru ini juga seorang penunggang motosikal terjatuh akibat terlanggar lubang di permukaan jalan raya berhadapan Hospital Columbia di Jalan Mahkota, Mutiara Bukit Raja dan dilaporkan mengalami kecederaan retak tangan kiri dan pendarahan di bahagian kepala.
Masalah jalan rosak, berlubang dan tidak rata itu turut dihadapi penduduk di sekitar daerah ini antaranya di Taman Klang Jaya, Jalan Seruling 59 Taman Seri Andalas, sekitar Taman Sentosa dan Persiaran Hamzah Alang.
Di Persiaran Hamzah Alang contohnya, jalan yang rosak kira-kira lebih dua kilometer yang menghubungkan Meru ke Pekan Kapar itu pernah berlaku kemalangan terutama melibatkan motosikal ketika waktu malam dan hujan lebat.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati sebahagian laluan berdekatan Taman Emas dan Taman Putra Baru itu berlubang dan tidak berturap dengan baik selain turut ditakungi air selain kelihatan pengguna terpaksa memperlahankan kenderaan bagi mengelak berlaku sebarang kemalangan atau kerosakan.
Berlainan di Taman Sentosa pula, selain berlubang terdapat jalan yang berbonggol dan pecah-pecah terutama di jalan utama dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sentosa.
Jalan rosak disebabkan kenderaan berat seperti treler dan bas lalu-lalang dari Shah Alam untuk ke Pelabuhan Klang melalui jalan utama di kawasan ini.
Bagaimanapun, yang menjadi tanda tanya, mengapa jalan raya di kedua-dua kawasan itu boleh dibaiki dalam tempoh singkat sejurus berlakunya kemalangan melibatkan mangsa? Adakah pihak berkuasa perlu menunggu kemalangan baharu membaiki jalan raya?
Sementara itu, Ikatan Silaturahim Brotherhood menggesa pihak berkuasa terutama Kementerian Kerja Raya khususnya Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk segera mewujudkan prosedur operasi standard (SOP) bagi kerja-kerja turapan sementara jalan di negara ini.
Pengasasnya, Azlan Sani Zawawi berkata, sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memperjuangkan isu jalan raya berkualiti dan selamat, SOP tersebut penting dalam memastikan jalan raya diturap dengan sempurna serta tidak menjejaskan pengguna yang menaiki pelbagai jenis kenderaan.
Beliau yang lebih dikenali sebagai Lando Zawawi mendakwa, kerja-kerja konsesi untuk menurap dan menutup lubang-lubang dilakukan dengan menggunakan tanah dan bahan-bahan kualiti rendah yang mudah rosak.
“Kerja-kerja turapan sementara oleh konsesi terbabit yang dilakukan secara percuma tanpa mengikut SOP menjadi punca jalan baharu diturap pecah dengan cepat tidak sampai 24 jam.
“Keadaan ini menyebabkan kemalangan berlaku jika pengguna motosikal melalui kawasan terbabit tidak kira masa. Malah di negeri ini, JKR menyerahkan sepenuhnya kerja turapan jalan kepada pemaju tanpa pemantauan.
“Contohnya di Setia Alam, banyak jalan di situ yang sepatutnya diserahkan kepada JKR negeri tetapi masih berada di bawah seliaan pemaju. Di kawasan ini juga kerap berlaku kemalangan,” katanya dihubungi baru-baru ini. – UTUSAN