KEMAMAN: Sentiasa menjaga kesihatan dan usah lupa makan ubat merupakan antara pesanan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menceriakan salah seorang mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Mentok di sini.
Ismail Mamat, 56, yang lumpuh separuh badan akibat strok berkata, pesanan itu akan diingati sampai bila-bila kerana terlalu teruja dapat bertemu dan berbual buat kali pertama dengan pemimpin besar negara.
Menurut bekas tukang cat itu, keterujaan menunggu Perdana Menteri turut menyebabkan dia hilang selera makan hidangan tengah hari, nasi minyak yang disediakan di PPS tersebut.
“Tan Sri tanya sudah berapa lama duduk di sini dan beliau minta jaga kesihatan, makan ubat serta bersenam.
“Kunjungan Perdana Menteri secara tidak langsung menceriakan kami empat beranak dan penghuni lain yang terkesan dengan bencana banjir,” katanya ketika ditemui pemberita.
Menurut Ismail, banjir menyebabkan kediamannya di Kampung Tanjung Bukit Mentok dinaiki air sehingga ke paras pinggang.
Ismail mendiami PPS SK Bukit Mentok sejak lima hari lalu bersama isteri, Rahimah Abd. Rahim, 48, di samping dua anak, Nurul Izwani, 20, dan Muhammad Izuwan, 14.
Sementara itu, seorang lagi mangsa, Rosidah Abd. Razak, 53, dari Kampung Bukit Mentok berkata, kunjungan Perdana Menteri sedikit sebanyak menghilangkan keresahan mereka terhadap keadaan rumah dan barangan yang terjejas banjir. -UTUSAN ONLINE