GEORGETOWN: Penang Port Sdn. Bhd. (PPSB) semalam mengeluarkan jadual perjalanan bot laju untuk penumpang yang akan menggantikan perkhidmatan feri ikonik Pulau Pinang.
Menurut kenyataan dalam laman sosial Facebook rasmi PPSB, perkhidmatan bot laju berkapasiti 200 penumpang itu akan digunakan bermula 1 Januari ini.
Kenyataan itu menyebut, perkhidmatan berkenaan akan menghubungkan Pangkalan Sultan Abdul Halim, Butterworth dengan Terminal Swettenham Pier Cruise di Georgetown.
“Hanya pejalan kaki yang dibenarkan menggunakan feri bot laju dan waktu operasi akan bermula pada pukul 6.30 pagi hingga 11.30 malam.
“(Kekerapan) 15 minit untuk perjalanan (waktu) puncak dan 20 minit untuk perjalanan luar waktu puncak dan tertakluk kepada keadaan semasa,” demikian menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu menambah, harga tiket bagi perkhidmatan bot laju itu adalah kekal seperti feri sedia ada iaitu RM1.20 bagi dewasa dan 60 sen (kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah).
Sebelum ini, Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) mengumumkan perkhidmatan feri sedia ada akan ditamatkan bermula 1 Januari depan yang mana kenderaan empat roda tidak lagi dapat menggunakan perkhidmatan tersebut.
Bermula tarikh sama juga, feri ikonik sedia ada hanya boleh digunakan oleh penunggang basikal dan motosikal manakala bot laju akan digunakan untuk membawa penumpang individu.
Pelaksanaan perkhidmatan feri baharu itu akan berjalan sepanjang tempoh interim sehingga Jun 2022 sebelum katamaran atau teksi air digunakan sepenuhnya dengan feri ikonik sedia ada akan dijadikan muzium dan restoran terapung.
Bagaimanapun, semalam, Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz di Dewan Rakyat berkata, PPSB akan disyaratkan untuk meneruskan perkhidmatan feri Pulau Pinang yang sudah menjadi ikon dan warisan di negeri ini buat masa ini.
Ini kerana, ujar beliau, Kerajaan Pusat sebelum ini meluluskan peruntukan sebanyak RM30 juta untuk PPSB mengendalikan perkidmatan feri itu.
Setakat ini, tiada sebarang kenyataan daripada PPSB atau SPPP berhubung pengumuman Tengku Zafrul itu. – UTUSAN