Isteri Syafiq Ahmad dipindahkan ke HKL - Utusan Malaysia

Isteri Syafiq Ahmad dipindahkan ke HKL

Muhammad Syafiq Ahmad serta isteri dan anak sulung mereka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Nur Amalina Nur Ain, 25, isteri kepada pemain Harimau Malaya, Muhammad Syafiq Ahmad dipindahkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) pagi tadi untuk mendapatkan rawatan lanjut di hospital berkenaan.

Menurut bapa Muhammad Syafiq, Ahmad Ibrahim, 56, menantunya itu dipindahkan dari Hospital Seberang Jaya (HSJ) di sini ke HKL kira-kira pukul 6.30 pagi tadi.

Beliau difahamkan Nur Amalina dipindahkan selepas pakar di HKL akan terus memantau keadaan kesihatannya hasil perbincangan dengan pakar di HSJ.

“Keadaan Nur Amalina semakin baik serta stabil dan tidak ada apa-apa yang serius dengan kesihatannya, cuma dia dipindahkan bagi membolehkan pakar-pakar di HKL memantau keadaannya.

“Saya dan keluarga serta Muhammad Syafiq juga akan turut ke HKL hari ini dan akan bersama Nur Amalina sehingga dia sembuh dan dibenarkan keluar dari hospital,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Isnin lalu, Nur Amalina selamat menjalani pembedahan di bahagian perut di HSJ selepas mengadu kesakitan di bahagian itu dan belakang badannya sebaik sahaja dipindahkan dari Hospital Sungai Bakap (HSB) dekat sini.

Kelmarin, anak perempuan Muhammad Syafiq iaitu Aaira Nur Saffiya, 2, turut dibenarkan keluar dari HSJ selepas sembuh daripada kecederaan ringan yang dialami.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4 pagi Ahad lalu, kenderaan Toyota Vellfire yang dipandu Muhammad Syafiq dilaporkan hilang kawalan dan merempuh pembahagi jalan di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) Sungai Bakap dekat sini sebelum terseret sejauh kira-kira 30 meter.

Ekoran kejadian itu, Muhammad Syafiq kehilangan anak lelakinya yang baru berusia 22 hari, Muhammad Aisy Saqeef dan ibu mentuanya, Zainab Wahab, 45, serta pembantu rumah mereka iaitu wanita warga Indonesia, Titik Sukamti, 30-an.

Ketika kejadian, kenderaan yang dinaiki oleh enam orang dengan dipandu pemain Johor Darul Takzim (JDT) itu dalam perjalanan dari Johor Bahru menuju ke Pendang, Kedah. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN