ALOR SETAR: Seorang pegawai polis berpangkat inspektor direman empat hari bermula semalam bagi membantu siasatan kes menyalahgunakan jawatannya untuk kepentingan diri, September lepas.
Menurut sumber, pegawai polis berkenaan yang berusia 30 tahun dan bertugas di Pulau Pinang disyaki melakukan perbuatan tersebut untuk menjatuhkan reputasi seorang lagi pegawai polis berpangkat inspektor dengan tuduhan berkhalwat.
“Suspek bersama seorang lagi pegawai polis berpangkat inspektor dan seorang lelaki awam dipercayai terlibat dalam kes ini yang bersubahat dengan seorang remaja perempuan berusia 16 tahun untuk memerangkap inspektor terbabit.
“Suspek dipercayai bertemu dengan remaja itu pada September lepas dan diminta membantunya memerangkap inspektor tersebut untuk ke sebuah bilik hotel di Georgetown, Pulau Pinang. Apabila mangsa berdua-duaan, suspek memaklumkan kepada pejabat agama untuk membuat serbuan kesalahan khalwat,” katanya di sini hari ini.
Sumber itu menambah, suspek dipercayai menjanjikan wang RM3,000 dan tidak akan mengambil tindakan terhadap gadis itu kerana pernah ditahan berkaitan pil ekstasi sebagai balasan untuk tindakan sedemikian.
Katanya, suspek itu ditahan di pejabat SPRM pada pukul 7.21 malam kelmarin dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 16 (b)(A) Akta SPRM 2009 manakala inspektor berusia 33 tahun bersama lelaki berusia 32 tahun yang turut ditahan SPRM dilepaskan dengan jaminan SPRM.
Inspektor dan lelaki yang dilepaskan itu ditahan secara berasingan yang masing-masing ditahan kelmarin dan semalam di pejabat SPRM Sungai Petani pada 7.35 malam dan 1 tengah hari.
Sementara itu, Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd. Manap ketika dihubungi hari ini mengesahkan tangkapan tersebut.- UTUSAN ONLINE