ARAU: Kerajaan negeri menasihatkan orang luar yang datang ke negeri ini terutamanya dari zon merah untuk melaporkan diri di Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kangar terlebih dahulu bagi memastikan mereka tidak mempunyai gejala Covid-19.
Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man berkata, keputusan itu diambil sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengawal penularan virus tersebut.
Beliau juga mencadangkan individu yang pulang dari zon merah untuk membuat ujian calitan (swab) Covid-19 terlebih dahulu sebagai langkah berjaga-jaga supaya virus tersebut tidak dibawa ke negeri ini.
“Saya sedar ada kebimbangan dalam kalangan penduduk negeri ini ekoran kemasukan ramai orang luar termasuk pelancong domestik yang memilih negeri ini untuk bercuti.
“Orang Perlis sendiri memang tinggi tahap kepatuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 yang mana itu menimbulkan rasa kerisauan dalam kalangan mereka.
“Walau bagaimanapun, kita perlu mengimbangkan antara risiko untuk mendapat penyakit ini dengan pembangunan pelancongan di negeri ini,” katanya ketika ditemui di Taman Rekreasi Bukit Jernih di sini hari ini.
Sementara itu, beliau memberitahu, orang ramai juga perlu mempunyai kesedaran untuk mematuhi SOP yang ditetapkan
“Apa yang penting adalah setiap individu itu untuk mematuhi SOP yang ditetapkan seperti memakai pelitup separuh muka, menjaga jarak dan kerap membasuh tangan.
Kalau kita mengikut SOP maka kita tidak akan mendapat risiko Covid-19 ini,” jelasnya.
Tambahnya, kedatangan pelancong ke Perlis sejak akhir-akhir ini yang meningkat berkali ganda menunjukkan bahawa usaha kerajaan dalam mempromosikan pelancongan mengenengahkan tarikan baharu berhasil.-UTUSAN ONLINE