SEREMBAN: Ibu tunggal mengharapkan sumbangan orang ramai bagi meringankan beban kewangan yang ditanggung setelah anak perempuannya yang berusia 15 tahun disahkan menghidap penyakit skoliosis atau tulang belakang membengkak ke kanan.
Murni Mansor, 47, dari Taman Paroi Jaya, dekat sini menjelaskan, anaknya, Shafiyah Laiyinah Ishak yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pendeta Za’aba menghidap penyakit sejak setahun lalu.
“Sebelum ini, anak saya yang keempat juga menghadapi masalah sakit tulang belakang yang sama dan kos pembedahan juga kami terima hasil bantuan daripada orang ramai kerana kami kurang berkemampuan.
“Kini, anak saya yang bongsu pula menerima nasib yang sama dan saya berharap orang ramai dapat memberi bantuan kerana sebanyak RM35,000 diperlukan untuk kos pembedahan dan wad di Hospital Universiti Kebangsan Malaysia (HUKM) pada 16 Mac depan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.
Menurutnya, dia yang bekerja sebagai pembantu tukang masak di sebuah syarikat katering hanya mengharapkan gaji sebanyak RM1,200 sebulan dan tidak mampu untuk mengumpul wang yang diperlukan itu dalam masa dua bulan.
“Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac lalu, perniagaan katering yang diusahakan oleh kakak saya itu tidak menerima tempahan yang banyak. Saya tidak mampu untuk membayar kos pembedahan berkenaan kerana mengambil gaji hari.
“Anak saya kini, perlu berehat dan menunggu pembedahan membetulkan semula tulang belakangnya yang membentuk seperti huruf C. Doktor memaklumkan mereka akan memasang 14 skru titanium dan dua plat rod pada tulang belakang anak saya bagi membolehkan tulang belakangnya tegak seperti sedia kala,” katanya yang mempunyai lima orang anak berusia 15 hingga 26 tahun.
Murni yang sudah berpisah dengan suaminya sejak 10 tahun lalu menambah, dia turut menjaga ibunya yang sedang uzur.
“Anak sulung dan kedua sudah bekerja turut membantu daripada sudut kewangan untuk mengurangkan beban perbelanjaan untuk menghantar Shafiyah Laiyinah sebulan sekali bagi menjalani rawatan di HUKM.
“Saya berharap ada pihak yang sudi membantu kerana saya tidak mampu mendapatkan dana yang cukup bagi menampung kos pembedahan berkenaan. Saya juga ada membuat permohonan daripada pihak Baitulmal Negeri Sembilan bagi mendapatkan bantuan kos pembedahan tersebut,” katanya.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan bantuan kepada melalui akaun RHB Bank 11501400056843 di atas nama Murni Mansor.-UTUSAN ONLINE