BATU KAWAN: Kerajaan Negeri Pulau Pinang bersedia berbincang lanjut mengenai tuntutan RM50 juta caj sumber air mentah setahun yang dikemukakan Kerajaan Negeri Kedah baru-baru ini.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, biarpun kerajaan negeri sudah menyatakan pendirian berhubung tuntutan itu namun beliau menyifatkan ruang perbincangan masih terbuka buat kedua-dua belah pihak.
“Pintu Komtar (kerajaan negeri) sentiasa terbuka kepada Kerajaan Negeri Kedah untuk mengemukakan tuntutan dan dalam isu ini, sudah semestinya rakyat tidak mahu melihat kedua-dua negeri berperang mulut menerusi platform media dan mengharapkan perbincangan dapat dijalankan.
“Adalah lebih baik sekiranya rundingan dibuat dan tidak perlu sesuka hati melontarkan ayat yang akan ditertawakan rakyat.
“Kita perlu menjaga imej dan kredibiliti kedua-dua negeri dan janganlah sewenang-wenangnya menyuarakan perkara yang boleh membuatkan rakyat kecewa,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan majlis pecah tanah pembinaan kilang pembuatan peralatan perlindungan diri (PPE) di Batu Kawan, di sini hari ini.
Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md. Nor sebelum ini menuntut Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn. Bhd. (PBAPP) menjelaskan bayaran sumber air mentah sebanyak RM50 juta setahun.
Menurut Muhammad Sanusi, pihaknya sudah banyak kali menghantar surat meminta bayaran berkenaan kepada PBAPP sejak 2010, namun tiada sebarang jawapan mahupun bayaran dilakukan.
Mengulas lanjut, Kon Yeow mengulangi pendirian yang mana Pulau Pinang mengekstrak sumber air mentah dari Sungai Ulu Muda di bahagian sempadan negeri itu.
Dalam masa sama katanya, Pulau Pinang juga akan menyokong Kerajaan Negeri Kedah untuk menuntut pampasan daripada Kerajaan Persekutuan kerana tidak membenarkan pembalakan di hutan simpan Ulu Muda. – UTUSAN ONLINE