BENTONG: Harapan seorang peniaga secara dalam talian di sini untuk meraih untung berganda melalui pelaburan emas bertukar duka apabila kerugian RM90,581 akibat ditipu.
Kejadian bermula pada 16 Oktober lalu selepas wanita berusia 36 tahun tersebut tertarik untuk menyertai pelaburan emas ketika melayari laman sosial Facebook.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintenden Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, mangsa seterusnya menghubungi suspek menerusi aplikasi Telegram untuk mendapatkan maklumat lanjut.
“Mangsa berhubung dengan ejen bernama Zainuddin dan mendapati pelaburan emas itu beralamat di United Kingdom dan akan dapat untung berlipat kali ganda dalam masa beberapa hari,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mohd. Wazir menambah, mangsa mula melakukan transaksi pemindahan wang berjumlah keseluruhan RM90,581 ke dalam beberapa akaun bank berlainan antara 16 November hingga 11 Disember lalu.
“Selepas kehabisan wang, mangsa mengesyaki telah ditipu dan tampil ke balai polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Mangsa membuat laporan di Balai Polis Manchis di sini semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – UTUSAN