PUTRAJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) hari ini memberi peringatan kepada orang ramai agar sentiasa menjauhi kewujudan akaun media sosial palsu.
Pengguna juga diminta berwaspada dengan kemunculan laman sedemikian yang berleluasa malah dinasihatkan tidak mengambil mudah serta mengambil tindakan segera jika ditemui.
“Mereka boleh menangani akaun yang diragui ketulenan dengan melaporkan melalui ruangan Laporan Akaun Palsu disediakan penyedia platform media itu,” katanya menerusi kenyataan.
SKMM menambah, usaha berkenaan akan membolehkan penelitian dan tindakan selanjutnya oleh pihak pentadbir wadah sosial tersebut berdasarkan Piawaian Komuniti yang ditetapkan.
Tindakan itu perlu bagi elak isu penyebaran kandungan tidak baik seperti berita mengelirukan, ucapan kebencian dan kandungan berbentuk provokasi yang jejas tahap keselamatan negara.
“Pihak penyedia platform media sosial giat menyaring dan mengesahkan keaslian akaun pengguna tertentu namun tidak dapat dinafikan masih lagi berlaku ketirisan,” jelas SKMM lagi.
Bagaimanapun, pengguna patut sentiasa berhati-hati dengan kewujudan akaun palsu kerana kadang kala kandungannya tidak menunjukkan sebarang tanda berniat jahat pada permulaan.
Justeru, penyedia wadah tersebut hanya memberi pengguna dengan keraguan munasabah sehingga pentadbir akaun sosial itu sendiri kemudian menunjukkan tanda aktiviti tidak baik.
“Ia dikesan apabila sistem pengesanan penyedia platform itu mengenal pasti tingkah laku yang tidak baik atau jika ada pengguna prihatin tampil melaporkan kepada mereka,” terang SKMM.
Sehubungan itu, agensi tersebut memaklumkan bahawa usaha pencegahan pada peringkat awal adalah salah satu cara terbaik bagi menghentikan gejala penyalahgunaan media sosial.
Bahkan perlindungan lain juga harus dilakukan oleh para pengguna sebaik sahaja kandungan itu dihasilkan dan ketika proses interaksi berlaku dengan pentadbir akaun palsu berkenaan.
“Pihak SKMM sekali lagi menasihatkan pengguna agar berwaspada, kekal selamat dan jadi bertanggungjawab yang mengamalkan penggunaan internet secara berhemah,” tegasnya.
Pada masa yang sama, kenyataan agensi itu menyeru pengguna mengelakkan daripada jadi mangsa akaun palsu atau menyalahgunakan rangkaian media sosial untuk tujuan tidak baik. -UTUSAN ONLINE