Harga vaksin Covid-19 akan didedahkan jika PAC akur syarat rahsia

Harga vaksin Covid-19 akan didedahkan jika PAC akur syarat rahsia

KHAIRY Jamaluddin dan Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Ahmad Amzad Hashim (kanan) dalam sidang akhbar mengenai status perolehan vaksin Covid-19 di Ibu Pejabat Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Putrajaya hari ini. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin akan memberi taklimat khas kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bagi memberi penjelasan terperinci segala perkara berkaitan pembekalan vaksin Covid-19 termasuk kos yang ditentukan oleh setiap syarikat pengeluar.

Walau bagaimanapun, katanya, perkara itu hanya akan didedahkan kepada pihak PAC sekiranya anggota jawatankuasa berkenaan yang terdiri daripada ahli-ahli Parlimen pembangkang dan kerajaan boleh menerima syarat kerahsiaan yang ditetapkan oleh syarikat farmaseutikal terlibat. 

Menurut beliau, buat masa ini setiap perjanjian kerajaan Malaysia atau mana-mana kerajaan dunia yang memeterai perjanjian adalah tertakluk kepada syarat kerahsiaan untuk tidak mendedahkan harga kos vaksin mereka.

Dalam hal itu, katanya, Malaysia tidak mahu menjadi seperti negara Belgium yang melanggar perjanjian itu dengan mendedahkan rahsia komersial sensitif berkaitan harga yang dipersetujui Kesatuan Eropah (EU) untuk vaksin Covid-19 sekali gus menimbulkan kemarahan pihak syarikat farmaseutikal seperti Pfizer.

“Ini adalah syarat yang ditetapkan oleh syarikat farmaseutikal yang mengeluarkan vaksin bahawa kerajaan tidak boleh memperincikan harga setiap pengeluar vaksin. Sekiranya melanggar syarat itu, maka ia akan menjejaskan perjanjian yang telah dimeterai bagi pembekalan vaksin. 

“Ini adalah syarat mereka bukan kita. Kalau ikut kerajaan Malaysia memang tidak ada masalah untuk mengumumkan (harga). Saya mengambil pendirian untuk menghormati syarat perjanjian itu, apa yang penting kita dapat memperoleh bekalan vaksin,” katanya dalam sidang akhbar khas di sini hari ini. 

Beliau mengulas kenyataan Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang yang mempersoalkan mengapa kerajaan memerlukan RM3 bilion untuk mendapatkan vaksin untuk 6.4 juta rakyat Malaysia.

Beliau membuat perbandingan dengan pendedahan Menteri dari Belgium bahawa harga vaksin tersebut 20 kali ganda lebih murah daripada harga sebenar.

Khairy berkata, penjelasan kepada PAC itu amat penting supaya isu berkaitan harga pembelian vaksin tidak berlanjutan sehingga menjejaskan keyakinan rakyat untuk menerima vaksin tersebut.

Ini termasuk katanya, pelbagai andaian akan dibuat dengan mendakwa negara membuat bayaran terlalu mahal untuk mendapatkan vaksin sehingga menimbulkan keraguan harga yang telah dirundingkan apatah lagi rakyat masih ada kerisauan tentang keselamatan dan keberkesanannya. 

Malah, kata beliau, kerajaan membuat rundingan terus dengan Pfizer dan AstraZeneca dan harga yang diterima adalah daripada syarikat pengeluar itu sendiri dan bukannya harga melalui orang tengah atau pengedar.

“Syarikat AstraZeneca telah pun mengeluarkan kenyataan akhbar dengan mengesahkan Malaysia telah membeli dengan harga yang dikeluarkan mereka tanpa sebarang keuntungan tambahan sebagaimana komitmen mereka kepada negara ini serta lain-lain negara yang dibekalkan vaksin.

“Saya akan mendedahkan kepada PAC nilai harga sebenar vaksin yang dibeli daripada Pfizer dan  AstraZeneca. Justeru saya ingin memberi jaminan kepada rakyat semasa rundingan dengan kedua-dua syarikat itu termasuk tiga lagi syarikat yang sedang dirunding, keutamaan adalah melindungi keselamatan dan kewangan negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya