GURUN: Orang ramai diminta tidak membuat tuduhan melulu dan menyebarkan khabar angin terhadap anggota Balai Bomba dan Penyelamat Guar Chempedak di sini berikutan seorang anggotanya disahkan positif Covid-19 pada Sabtu lalu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Guar Chempedak, Penolong Penguasa Bomba Muhammad Noriman Mustaffa berkata, pelbagai tafsiran negatif diterima termasuk menuduh kesemua 38 anggota di balai itu telah dijangkiti Covid-19.
“Saya ingin menjelaskan bahawa hanya seorang anggota yang disahkan positif pada Sabtu lalu dan dia kini dikuarantin di Hospital Kuala Nerang.
“Kami turut mengambil langkah untuk mengekang penularan virus itu termasuk menjalankan kuarantin kendiri di dalam balai bermula Ahad lalu selain tidak berurusan dengan orang luar,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut Muhammad Noriman, semua anggotanya telah selesai menjalani ujian saringan awal yang dijalankan oleh petugas kesihatan pada Ahad lalu.
“Walaupun kakitangan tidak bergejala kita tetap akan kuarantin di balai sehingga keputusan ujian saringan diperolehi dalam masa dua atau tiga hari lagi.
“Malah atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia, pasangan dan ahli keluarga kami turut menjalani kuarantin di rumah masing-masing selama 14 hari,” ujarnya.
Balai Bomba dan Penyelamat Guar Chempedak tidak mempunyai kuarters kediaman dan kesemua 39 anggotanya tinggal di luar.
Tambahnya, proses sanitasi dilakukan dua kali sehari oleh anggotanya di seluruh kawasan balai sejak kelmarin. -UTUSAN ONLINE