MELAKA: Ibu bapa dan penjaga kepada anak-anak orang kurang upaya (OKU) perlu mendaftar segera dan mengemas kini data peribadi dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi memudahkan pelbagai bantuan yang akan disalurkan oleh kerajaan melalui Belanjawan 2021.
Presiden Majlis Paralimpik Malaysia, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin berkata, hanya seramai 570,000 OKU yang berdaftar dengan JKM mengikut senarai terkini bulan lepas berbanding jumlah 4.7 juta seperti yang terdapat di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Menurutnya, jumlah tersebut jauh daripada sasaran kerana hanya kira-kira 20 peratus OKU yang berdaftar dengan JKM, manakala selebihnya gagal dikesan sehingga kini selain ada dalam kalangan mereka tidak mengemas kini butiran lengkap.
Justeru, beliau bimbang sekiranya ibu bapa atau penjaga yang tidak berbuat demikian mungkin akan terlepas daripada mendapat bantuan yang disalurkan oleh kerajaan apatah lagi dalam Belanjawan 2021 bantuan untuk golongan OKU telah dinaikkan.
“Dalam Belanjawan 2021, golongan OKU mendapat banyak bantuan tambahan, jika tidak daftar dan kemas kini data terkini bagaimana kerajaan nak salurkan bantuan. Kerajaan mungkin bagi bantuan berdasarkan senarai 570,000 OKU sahaja.
“Saya juga telah berbincang dengan Presiden OKU Sentral, Senator Ras Adiba Radzi untuk kita memberitahu kepada rakan-rakan OKU agar segera mendaftar dan mengemas kini data terkini mereka,” katanya kepada pemberita di sini semalam.
Megat D Shahriman ditemui dalam majlis penyerahan sumbangan barangan keperluan asas daripada pihak Jakel kepada warga OKU di Kompleks Sukan Komuniti, Krubong.
Mengulas lanjut, beliau berkata, sebelum ini timbul rasa tidak puas hati dalam kalangan OKU apabila kerajaan mengumumkan bantuan sosial menerusi Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) kerana ada sebahagian golongan tersebut tidak menerima bantuan itu.
Jelasnya, kerajaan tidak wajar dipersalahkan kerana bantuan yang diberikan itu berdasarkan maklumat yang diperoleh melalui JKM dan jika ada golongan OKU tidak berdaftar atau mengemaskini data mereka bagaimana bantuan itu dapat disalurkan. -UTUSAN ONLINE