Hanya 2,000 sukarelawan aktif - Utusan Malaysia

Hanya 2,000 sukarelawan aktif

RINA MOHD. HARUN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kini mempunyai 11,559 sukarelawan berdaftar, namun daripada jumlah itu, hanya lebih 2,000 orang yang terlibat aktif dalam program Khidmat Bantu di Rumah.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd. Harun berkata, kerajaan berharap dapat menambah jumlah sukarelawan pada masa akan datang bagi membantu jabatan tersebut untuk aktif ‘turun padang’ menyantuni golongan sasar.

“Usaha itu juga diharap memupuk semangat kesukarelawanan dalam kalangan rakyat, “ ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Program Rakan Muda ‘Give Back’ melibatkan 20 peserta di Balai Raya Kampung Salak Tinggi, Sepang dekat sini hari ini.

Program bersempena dengan Hari Kesukarelawanan Belia Malaysia 2020 peringkat Selangor itu turut dihadiri Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan, Datuk Dr. Wasitah Mohd. Yusof.

Mengulas lanjut, Rina berkata, pihaknya berharap kerjasama dua buah kementerian itu dapat menarik ramai belia menceburi aktiviti kesukarelawanan di seluruh negara pada tahun depan.

“Malahan, kita bersyukur kerajaan menerusi Belanjawan 2021 juga bersetuju tambah sagu hati untuk sukarelawan Program Khidmat Bantu di Rumah kepada maksimum RM400,” katanya.

Ini berbanding kadar lama hanya RM150 manakala sagu hati untuk klien naik kepada RM30 daripada RM30 yang beri manfaat lebih 8,000 warga emas dan Orang Kurang Upaya (OKU).

Apatah lagi ujarnya, penyertaan sebagai sukarelawan JKM dibuka sepanjang masa tanpa ada tarikh tutup bahkan permohonan terbuka kepada setiap lapisan umur tidak kira latar belakang.

Mereka ini jelasnya, menyantuni klien melalui program sokongan sosial, khidmat pemulihan, bimbingan kaunseling, pendidikan moral, penempatan pekerjaan dan pengurusan bencana.

“Sukarelawan ini bukan sahaja ‘mata dan telinga’ untuk sebar dasar kerajaan, malah menerima maklum balas masyarakat di peringkat bawah mengenai permasalahan rakyat,” tegas Rina.

Bagi memastikan keberkesanan peranan, setiap sukarelawan yang baru berdaftar akan diberi latihan asas, kursus kemahiran dan taklimat berkala sebelum dihantar membantu masyarakat.

JKM sendiri katanya, ada lebih 3,500 pegawai sentiasa ‘turun padang’ namun ia tidak cukup dan bantuan sukarelawan termasuk peserta Rakan Muda diharap dapat meringankan beban.

Rina turut menghargai Jabatan Belia dan Sukan apabila sedia bekerjasama malah ada ramai peserta Rakan Muda seawal usia 15 tahun sanggup terlibat dalam aktiviti kesukarelawanan.

Pada program kali ini, beliau dan Wasitah serta Pengarah Belia dan Sukan Selangor, Hasnata Hasan turut menyampaikan sumbangan kepada 70 penerima di empat kawasan sekitarnya.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya