LIPIS: Hanya kira-kira 15 peratus atau 240,000 golongan muda dikenal pasti terlibat dalam bidang pertanian berbanding lebih sejuta petani berdaftar di seluruh negara.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan 1, Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, sehubungan itu pihak kerajaan akan terus menggiatkan usaha meningkatkan penglibatan golongan muda dari semasa ke semasa.
“Penglibatan golongan muda yang kurang dalam bidang pertanian ini adalah kerana golongan ini beranggapan sektor pertanian tidak memberikan pulangan yang lumayan seperti sektor lain.
“Tanggapan ini salah kerana dengan penggunaan teknologi terkini dan moden, hasil pengeluaran dapat ditingkatkan dengan lebih baik dan cepat sekali gus memberi pulangan dan pendapatan yang tinggi,” katanya pada Majlis Perasmian Jelajah Agropreneur Muda Peringkat negeri di Dewan Terbuka Laman Sejahtera Sungai Koyan di sini hari ini.
Yang hadir sama, Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad; Ahli Parlimen Cameron Highlands, Ramli Mohd. Nor dan Pemangku Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Haslina Abdul Hamid.
Pada majlis itu, beliau menyampaikan bantuan geran kepada sebahagian daripada 79 agropreneur muda yang layak menerima geran bantuan berkenaan.
Menurut Ahmad, kerajaan telah mewujudkan pelbagai inisiatif bagi menggalakkan golongan muda termasuklah program agropreneur muda yang ditubuhkan pada 2016 bagi membantu dan menggalakkan penglibatan golongan muda dalam sektor agromakanan.
Katanya, sehingga kini kementerian itu telah berjaya membantu seramai 6,980 agropreneur muda dengan peruntukan sebanyak RM126.4 juta melalui kelulusan geran dan pembiayaan khas agropreneur muda.
“Daripada jumlah tersebut, seramai 6,919 orang peserta menerima bantuan dalam bentuk geran berjumlah RM122.13 juta manakala 61 peserta menerima bantuan dalam bentuk pembiayaan berjumlah RM4.26 juta.
“Pada tahun ini sahaja program Agropreneur Muda mendapat sambutan yang menggalakkan apabila berjaya membantu 1,152 peserta dengan peruntukan sebanyak RM21.79 juta berbanding sasaran 1,000 peserta,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE