Hal ehwal Islam di bawah kuasa Raja negeri-negeri  - Utusan Malaysia

Hal ehwal Islam di bawah kuasa Raja negeri-negeri 

ZULKIFLI Mohamad Al-Bakri (tengah) melihat barangan sumbangan pada Majlis Pelancaran Bilik Gerakan Misi Bantuan Bencana Banjir di pejabat YADIM, Putrajaya di sini, hari ini. Turut hadir, Pengerusi YADIM, Nasruddin Hassan (kanan). GAMBAR : FAISOL MUSTAFA PEMBERITA : PETAH WAZAN (UTUSAN)
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Perlembagaan Persekutuan menetapkan urusan berkaitan hal ehwal Islam berada di bawah naungan raja-raja bagi negeri-negeri terbabit termasuk isu berkaitan masjid dan surau di Selangor sepanjang Covid-19 ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, sebagai menteri di Persekutuan, beliau boleh mengusulkan cadangan melalui Jawatankuasa Muzakarah Khas Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia untuk penelitian Pihak Berkuasa Agama Negeri. 

Namun katanya, keputusan akhir adalah sepenuhnya hak mutlak dan bidang kuasa negeri di bawah naungan raja-raja bagi negeri-negeri. 

“Begitu juga sebarang prosedur operasi standard (SOP), adalah hasil resolusi jawatan kuasa muzakarah yang dianggotai Mufti-Mufti seluruh Malaysia selaku pihak berkuasa agama negeri dan Ahli-Ahli Dilantik Majlis Raja-Raja sebagai satu panduan bersama sebelum dipertimbangkan dan diputuskan oleh pihak berkuasa agama negeri masing-masing. 

“Apabila berkaitan Covid-19, pandangan dan nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara juga diutamakan atas faktor kepakaran dan maklumat yang terperinci berkaitan isu-isu kesihatan dan keselamatan,” katanya melalui kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook rasmi beliau, hari ini.

Beliau mengeluar kenyataan terbabit bagi menjawab surat terbuka yang dituju khas kepada dirinya susulan SOP membabitkan masjid dan surau di Selangor di mana ia dimuat naik oleh Ustaz Kamil Sidek di laman Facebooknya yang mewakili pihak Masjid Darul Falah, Jeram Selangor.

Zulkifli berkata, sebagaimana amalan kebiasaan, resolusi muzakarah ini akan di bawa sebagai sembah maklum kepada Yang Dipertuan Agong dan Majlis Raja-Raja sebagai satu pandangan dan nasihat untuk dipertimbangkan dan diputuskan oleh pihak berkuasa agama negeri. 

Bagi isu berkaitan Masjid Darul Falah katanya, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari memaklumkan bahawa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) telah mempersembahkan prosedur operasi standard (SOP) bagi pembukaan masjid dan surau di seluruh negeri ini kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah semalam.

“Perkara itu ada dilaporkan melalui Utusan Malaysia, bertajuk Pembukaan masjid, surau: Tunggu arahan Sultan Selangor pada Selasa lalu.

“Sejujurnya, jauh di dalam hati kecil saya juga ingin sebolehnya masjid dan surau dibuka namun, Covid-19 tidak boleh dipandang ringan. Sebab itulah kerajaan, pihak berkuasa agama negeri, Kementerian Kesihatan Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara amat mengambil berat akan hal ini,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN