Hajat bawa keluarga bercuti tidak kesampaian - Utusan Malaysia

Hajat bawa keluarga bercuti tidak kesampaian

NORAINI Shariff menunjukkan gambar Mohamad Nur Taufik yang maut dalam kejadian kemalangan di Kilometer 5, Jalan Kampung Batu-Inas (Bukit Miku), dekat sini, malam, semalam. -UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REMBAU: Hajat anak untuk membawa ibu dan bapanya bercuti tidak kesampaian apabila dirinya terkorban dalam kemalangan di Kilometer 5, Jalan Kampung Batu-Inas (Bukit Miku), dekat sini, malam kelmarin

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.30 malam itu, mangsa, Mohamad Nur Taufik Mohd. Azmi, 25, yang dalam perjalanan pulang dari tempat kerja di salah sebuah kilang di Seremban disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Menurut ibu mangsa, Noraini Shariff, 58, anak kedua daripada tiga beradik itu sememangnya sangat baik dan dan sering membantu keluarga sejak bekerja tiga tahun lalu.

“Lepas habis belajar di tingkatan enam, arwah ingin menyambung pelajaran di universiti, namun tidak mendapat sebarang tawaran jadi arwah bekerja membantu keluarga.

“Ikutkan dia sudah kumpul duit untuk beli kereta baharu dan berhajat nak bawa kami sekeluarga bercuti ke Cameron Highland, namun urusan pembelian kereta tertunda disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan hajatnya tidak kesampaian,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Rembau, dekat sini, semalam.

Noraini berkata, anaknya itu ingin membeli kenderaan baharu untuk kegunaan keluarga memandangkan mereka hanya memiliki kereta jenis Perodua Kancil peninggalan datuknya.

Menurutnya, anaknya itu bukan hanya membantunya malah sebelum ini turut memberi perbelanjaan bulanan kepada kakak sulungnya yang belajar di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam.

“Sudah tiga tahun arwah berulang alik dari rumah di Kampung Ulu Inas ke tempat kerja di Sungai Gadut, Seremban ikut jalan ini dan tak sangka pula ada tiang yang merintangi jalan kerana saya juga baru melalui jalan berkenaan untuk ke kedai,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintenden Anuar Bakri Abdul Salam berkata, kemalangan berkenaan membabitkan dua buah kenderaan iaitu motosikal jenis Kriss Modenas yang ditunggangi mangsa dan sebuah kereta pacuan empat roda jenis Triton.

“Siasatan awal mendapati mangsa dari Kampung Batu menghala ke Inas. Semasa sampai di tempat kejadian, mangsa telah terlanggar tiang batu maxis yang jatuh melintang atas laluan, mangsa hilang kawalan dan tercampak lalu dilanggar oleh kenderaan yang datang dari arah bertentangan.

“Mangsa yang tercampak dan dilanggar disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan dibawa ke Hospital Rembau untuk bedah siasat,” katanya kepada Mingguan Malaysia, semalam.

Anuar Bakri berkata, pemandu dan penumpang lelaki dalam sebuah lagi kenderaan masing-masing berusia awal lingkungan 30-an bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan serius.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya