JOHOR BAHRU: Seorang guru tadika swasta di sini, kini mengambil upah menjahit pakaian bagi menampung perbelajaan keluarga di saat berhadapan situasi getir pandemik Covid-19.
Menurut Siti Aishah Yusof, 54, dia kini melakukan pekerjaan tersebut setelah tadika yang menjadi tempat mencari hasil pendapatan selama ini ditutup berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula November lalu.
Katanya, dia yang berkemahiran menjahit sejak 27 tahun lalu menjadikan bidang jahitan sebagai kerja sampingan bagi meneruskan kehidupan demi untuk menyara kehidupan.
“Kini saya jadikan rumah di tingkat dua PPR Desa Mutiara bersama suami dan anak lelaki sebagai tempat menjahit.
“Alhamdulillah, sejak kebelakangan ini saya menerima tempahan amat menggalakkan untuk menjahit baju kurung, baiki seluar dan baju,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Siti Aishah memberitahu, dia hanya mengenakan bayaran RM40 sebagai upah menjahit baju kurung.
“Saya faham dengan keadaan dan masalah dihadapi orang lain sekarang, jadi saya mengenakan bayaran berpatutan sahaja,” katanya.
Walaupun sibuk dengan kerja-kerja menjahit, namun Siti Aishah tetap meneruskan kerjayanya sebagai guru tadika dengan mengadakan kelas pembelajaran dalam talian bersama murid-murid tadika sambil dibantu oleh ibu bapa masing-masing.
“Guru sudah sebati dengan jiwa saya, jadi saya tidak lepaskan tanggungjawab walaupun berhadapan pandemik Covid-19,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE