PUTRAJAYA: Menggunakan dokumen palsu yang diubah suai bagi ‘memancing’ penderma.
Itu taktik yang dikesan Jabatan Agama Wilayah Persekutuan (Jawi) ketika pihaknya membuat penguatkuasaan di kebanyakan restoran yang diletakkan peti derma di kaunter pembayaran.
Selain taktik itu, turut disalah gunakan ialah meletakkan notis tauliah dengan gambar bersama pemimpin terkenal tempatan bagi menyakinkan masyarakat yang prihatin.
Peti derma itu pada kelazimannya akan disita oleh agensi tersebut setelah dibuat semakan kerana menyalah gunakan surat tidak berkaitan.
Justeru, pihak Jawi mengingatkan mereka yang mahu meletakkan peti derma di premis seperti restoran agar mendapat kebenaran terlebih dahulu.
Malahan, pasukan penguatkuasaan agensi itu sentiasa ‘turun padang’ bagi memeriksa tempat yang ada diletak tabung kecil sedemikian untuk tarik minat masyarakat menghulurkan derma.
“Tujuan kami agar sumbangan ikhlas daripada orang ramai tidak pula disalah guna konon atas nama kebajikan pelajar tahfiz, anak yatim atau projek pembinaan masjid baharu,” kata Jawi.
Dalam hantaran kenyataan ringkas melalui akaun media sosialnya, agensi berkenaan sebaliknya bimbang manfaat derma awam itu tidak sampai kepada penerima yang memerlukan.
Ia boleh disabitkan sebagai Kesalahan Pungutan Khairat Tanpa Kebenaran di bawah Seksyen 84, Akta 505, Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993.
“Kami ingin mengingatkan mana-mana orang yang melanggar peraturan itu boleh dipenjara tidak lebih enam bulan atau didenda maksimum RM1,000 atau kedua-duanya,” jelas Jawi. – UTUSAN