Giliran UTeM ‘jual’ nombor plat kenderaan - Utusan Malaysia

Giliran UTeM ‘jual’ nombor plat kenderaan

DR. Raha Abdul Rahim (tengah) diiringi Khairul Taib (kiri) bersama Pengarah Pusat Strategik Penjanaan Pendapatan UTeM, Prof Datuk Dr. Mohd. Jailani Mohd. Nor ketika merasmikan majlis pemakluman pembukaan bidaan nombor plat eksklusif UTeM di Dewan Auditorium Canselori UTeM di Durian Tunggal. UTUSAN/ RASUL AZLI SAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menjadi universiti awam ke-10 yang membuka bidaan nombor plat kenderaan eksklusif secara atas talian bermula esok sehingga 14 Disember bagi fasa pertama.

Sebanyak lima kategori nombor pendaftaran ditawarkan yang bermula serendah RM450 hingga RM30,000 bagi bidaan minimum mengikut kategori platinum; diamond; gold; silver dan bronze.

Naib Canselor UTeM, Prof. Datuk Dr. Raha Abdul Rahim berkata, penjualan nombor plat UTeM ini merupakan salah satu inisiatif menjana pendapatan bagi membantu universiti menjalankan penyelidikan dan pembangunan sendiri.

“Inisiatif penjanaan ini juga amat bertepatan dengan keadaan semasa UTeM yang pada suku ketiga tahun ini telah berdepan pengurangan bajet mengurus semasa sebanyak 56 peratus dan bagi suku keempat pula menerima pengurangan sebanyak sembilan peratus.

“Lantaran itu, kita menyasarkan pulangan hasil sebanyak RM5 juta kepada universiti bagi penjualan nombor plat eksklusif ini dalam tempoh tiga tahun,” katanya selepas melancarkan nombor pendaftaran tersebut di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UTeM, Prof. Dr. Zulkifilie Ibrahim; Bendahari UTeM, Khairul Taib dan Ketua Bahagian Perlesenan Kenderaan Jabatan Pengangkutan Jalan negeri, Arshad Arbi.

Menurut Raha, penjualan nombor pendaftaran itu juga merupakan salah satu usaha universiti untuk mempromosi dan meningkatkan lagi visibiliti UTeM kepada masyarakat luar.

“Penjualan nombor plat UTEM1-UTEM9999 boleh dibida melalui sistem ebida UTeM di laman khas iaitu ebida.utem.edu.my dengan fasa pertama melibatkan kategori silver dan bronze.

“Sesi bidaan bagi semua kategori nombor akan bermula pada 2 Januari sehingga 7 Januari tahun depan selepas dilancarkan Yang Di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam yang juga Canselor UTeM,” katanya.

Tambah beliau, rebat sebanyak RM100 juga disediakan kepada staf, pelajar, alumni dan pesara UTeM yang berjaya membida nombor plat dengan setiap seorang hanya layak bagi satu nombor sahaja.

“Nombor plat ini adalah nilai sentimental kepada warga UTeM sendiri terutamanya mereka yang telah bersama dengan pihak universiti dalam keadaan susah dan senang,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya