GEORGETOWN: Mereka yang terputus bekalan makanan khususnya akibat pandemik Covid-19 boleh mendapatkan sumbangan keperluan asas itu di beberapa masjid di negeri ini menerusi inisiatif Gerobok Rezeki Pasca PKP Covid-19.
Menerusi inisiatif itu, masjid-masjid terpilih di negeri ini akan menempatkan satu sudut mengumpul bekalan makanan bagi keperluan mana-mana individu atau keluarga yang terjejas akibat pandemik tersebut.
Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Ir. Ahmad Zakiyuddin Abd. Rahman berkata, kerajaan negeri turut menyumbang sebanyak RM120,000 kepada enam masjid bagi menjayakan inisiatif tersebut.
Jelas beliau, menerusi peruntukan itu, enam masjid di lima daerah di negeri ini termasuk masjid negeri dekat sini akan menerima masing-masing RM20,000.
“Peruntukan ini akan digunakan oleh jawatankuasa masjid bagi membeli barangan makanan asas untuk ditempatkan di gerobok rezeki berkenaan.
“Sehubungan itu sesiapa sahaja yang terputus bekalan makanan atau yang terjejas pendapatan kerana pandemik Covid-19 boleh mendapatkan bantuan barangan makanan asas ini pada bila-bila masa di masjid-masjid berkenaan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melancarkan inisiatif Gerobok Rezeki Pasca PKP Covid-19 di Masjid Negeri di sini hari ini yang turut dihadiri Pengarah Jabatan Agama Negeri Pulau Pinang, Mohd. Zakuan Zakaria.
Dalam pada itu, Ahmad Zakiyudin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Koperasi dan Pemerkasaan Komuniti negeri berkata, beliau berharap insiatif itu dapat dimanfaatkan sebaik mungkin oleh mereka yang benar-benar terjejas akibat pandemik Covid-19.
Beliau juga berharap mereka yang memerlukan bantuan makanan itu dapat mengambilnya sekadar yang diperlukan supaya lebih ramai individu atau keluarga yang terjejas dapat turut menikmati manfaat tersebut.
“Dalam masa sama, saya juga berharap inisiatif ini dapat diperluaskan di lebih banyak masjid dan pihak-pihak luar sama ada individu atau syarikat dapat sama-sama menyumbang bagi membantu menjayakan inisiatif ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE