KLUANG: Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Kententeraman Awam (KDNKA) Bukit Aman kini dalam proses permohonan bagi menggantikan baju kalis peluru sudah berusia lebih 10 tahun termasuk yang rosak.
Pengarah Jabatan KDNKA, Datuk Seri Abd. Rahim Jaafar berkata, ketika ini terdapat lebih 12,000 anggota Pasukan Gerakan Am dan polis marin di seluruh negara yang amat memerlukan kelengkapan itu.
“Kalau nak lihat risiko di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak, memang tinggi kerana mereka mempunyai senjata api seperti semalam tangkapan polis marin di Sarawak, penjenayah mempunyai senjata api.
“Penyeludup dadah juga mempunyai senjata api dan kebelakangan ini pegawai dan anggota ada risiko, sehingga kehilangan nyawa di Padang Besar, Perlis.
“Ada juga baju kalis peluru yang sudah lusuh rosak dan sebagainya, sekarang ini kita masih dalam proses permohonan,” katanya dalam sidang akhbar di Mes Pegawai Kanan Batalion 5 Pasukan Gerakan Am (PGA) di sini hari ini.
Beliau berkata, dalam permohonan sama pihaknya turut memerlukan teropong penglihatan malam selain kenderaan untuk melancarkan operasi membanteras kegiatan jenayah. – UTUSAN ONLINE