SUNGAI PETANI: Gadis perempuan orang kurang upaya (OKU) kategori lembam dilaporkan hilang selepas keluar dari rumah untuk berjumpa wanita yang dipanggil ‘kak long’ di Sungai Layar di sini, Isnin lalu.
Berita kehilangan, Nurul Najwa Mohd. Akhir, 22, mula menjadi viral selepas keluarganya membuat hebahan melalui media sosial meminta orang ramai membantu mencari gadis tersebut sejurus kehilangannya.
Nurul Najwa didakwa keluar dari rumah yang didiami bersama bapa, Mohd. Akhir Mohammad, 77, dan ibunya, Norhayati Ambiyah, 56, di Taman Seri Indah,Tupah, Merbok di sini kira-kira pukul 3 petang, Isnin lalu.
Abangnya, Muhammad Nasiruddin ketika dihubungi hari ini berkata, adiknya keluar memandu kereta Perodua Kancil berwarna putih milik bapa mereka selepas memaklumkan hasratnya untuk berjumpa ‘kak long’ kenalannya yang tinggal di Sungai Layar di sini.
“Adik bongsu saya itu turut memberitahu ayah dan ibu saya, dia ingin bersiar-siar di pekan Sungai Petani selepas berjumpa kenalannya itu.
“Namun, sehingga hari ini, adik saya itu tidak pulang ke rumah menyebabkan ibunya turut mencarinya di beberapa tempat dan hanya menemui kenderaan itu parkir di hadapan sebuah pasar raya di sini, manakala adik gagal dikesan,” katanya.
Muhammad Nasiruddin yang bertugas sebagai anggota polis di Ibu Pejabat Polis (IPD) Ulu Terengganu berkata, ibunya kemudian membuat lapran polis berkaitan kehilangan adiknya itu
di IPD Kuala Muda di sini semalam.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintenden Anuar Abdul Rahman ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan kehilangan remaja berkenaan dan siasatan dilakukan mengikut kes orang hilang.
“Kita telah memeriksa kenderaan yang ditinggalkan mangsa di hadapan pasar raya berkenaan.
“Kenderaan itu dikunci sempurna, bagaimanapun kita masih meneruskan siasatan lanjut dari pelbagai sudut untuk mengesannya,” katanya.
Anuar berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan Nurul Najwa atau menemuinya diminta menghubungi balai polis berhampiran atau abangnya, Mohd Nasiruddin
di talian 012 5506 571. -UTUSAN ONLINE