KUALA LUMPUR: Penurunan penarafan kadar Fitch Ratings bukan disebabkan faktor ekonomi dalaman atau ‘Fundamental Economy’.
Timbalan Menteri Kewangan, Mohd. Shahar Abdullah berkata, ini kerana petunjuk seperti kedudukan Malaysia antara negara paling berdaya saing di rantau ini menduduki tempat ke-12 dalam laporan Menjalankan Perniagaan.
Katanya, dengan penurunan kadar Fitch Ratings, kerajaan akan mengkaji tiga elemen terlebih dahulu sebelum melaksanakan cukai barang dan perkhidmatan (GST).
“Sewaktu semakan Belanjawan 2020 tahun lepas kita anggarkan harga minyak AS$60 setong . Tetapi disebabkan pandemik Covid-19 harga turun AS$40 setong. Selain itu, sewaktu belanjawan 2020 dibuat kita jangka defisit fiskal 3.2 peratus tetapi waktu kita umumkan defisit 3.4 peratus.
“Di saat ini kita beri tumpuan tiga elemen seperti ekonomi, kelangsungan rakyat dan ketahanan sebelum melaksanakan GST,” katanya dalam sesi persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Mohamad Sabu (Kota Raja-PH) sama ada kerajaan bercadang mengenakan cukai GST selepas Fitch Rating menurunkan kadar penarafan Malaysia. – UTUSAN