Feri lama jadi restoran, muzium terapung - Utusan Malaysia

Feri lama jadi restoran, muzium terapung

GAMBAR hiasan dari Facebook, Feri Penang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Dua buah feri yang menjadi ikon dan identiti pelancongan negeri ini akan dijadikan restoran dan muzium terapung bagi memastikan nilai sejarahnya tetap kekal terpelihara.

Menurut Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP), Datuk Tan Teik Cheng, kedua-dua buah feri itu akan ditempatkan di Pelabuhan Tanjung City Marina, Tanjung Bungah dekat sini.

Ujar beliau, usaha itu juga bagi memastikan nostalgia mengenai perkhidmatan feri itu yang sudah beroperasi di negeri ini sejak 126 tahun lalu sentiasa menjadi tarikan khususnya kepada pelancong ke negeri ini.

“Sehubungan itu, kita mengalu-alukan mana-mana pihak yang berminat untuk mengubah suai feri tersebut menjadi restoran dan muzium terapung supaya menghubungi SSSP,” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.

Bermula 1 Julai 2022 atau mungkin lebih awal, feri yang menjadi tarikan utama orang ramai khususnya pelancong untuk menyeberang antara kawasan pulau dan Perai negeri ini tidak lagi akan digunakan.

Perkhidmatannya akan digantikan sepenuhnya dengan ‘vehicle transporter’ yang hanya akan membawa pengguna basikal dan motosikal manakala kenderaan empat roda pula hanya bagi tujuan kecemasan.

Dalam pada itu, ditanya berkenaan kesan penamatan perkhidmatan feri tersebut khususnya dari sudut pelancongan, Teik Cheng berkata, pihaknya berkeyakinan perkara tersebut tidak akan berlaku.

Ini kerana, katanya, pelancong ke negeri ini masih boleh melihat atau melalui pengalaman menaiki feri sedia ada itu yang akan diubah suai menjadi muzium dan restoran terapung yang masih mengekalkan nilai dan elemen sejarahnya.

“Sebaliknya, kita menjangkakan industri pelancongan juga akan mendapat manfaat daripada pengenalan perkhidmatan feri baharu ini kerana ia lebih selesa, selamat dan pantas serta mampu membawa sehingga 1.5 juta penumpang seminggu,” katanya.

Berkenaan kemungkinan berlaku kesesakan jalan raya disebabkan kenderaan empat roda tidak lagi boleh menggunakan feri, Teik Cheng berkata, perkara itu juga tidak akan menjadi masalah kerana negeri ini mempunyai dua buah jambatan yang boleh digunakan orang ramai untuk menyeberangi antara pulau dan Perai. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya