GEORGETOWN: Kerajaan negeri Pulau Pinang akan menunggu penjelasan sebenar berhubung isu perkhidmatan feri ikonik dan warisan di negeri ini daripada Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) dan Penang Port Sdn. Bhd. (PPSB).
Menurut Ketua Menteri, , pihaknya akan memberi masa kepada pihak berkuasa berkenaan yang dilaporkan turut terkejut dengan pengumuman pengekalan operasi feri itu semalam.
Apatah lagi, kata beliau, perancangan yang dibentangkan oleh pihak pengurusan syarikat itu mengenai pelan penambahbaikan perkhidmatan feri kepada kerajaan negeri sebelum ini juga tidak sama dengan apa yang diumumkan Kerajaan Pusat semalam.
“Perkara ini perlu dijawab oleh SPPP dan PPSB.
“Saya fikir kita perlu memberi masa kepada mereka untuk mendapatkan arahan lanjut daripada Kementerian Pengangkutan atau Kementerian Kewangan sama ada pelan interim yang mereka rancang masih berjalan (sama) atau tidak,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Semalam, Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam sidang Dewan Rakyat berkata, PPSB akan ‘disyaratkan’ untuk meneruskan perkhidmatan feri Pulau Pinang yang sudah menjadi ikonik dan warisan di negeri ini buat masa ini.
Ini kerana, ujar beliau, Kerajaan Pusat sebelum ini meluluskan peruntukan sebanyak RM30 juta untuk PPSB mengendalikan perkidmatan feri itu.
Bagaimanapun, pengumuman itu menimbulkan persoalan kerana dilihat tidak selari dengan pelan penambahbaikan perkhidmatan feri yang diumumkan SPPP Selasa lalu.
Mengikut perancangan SPPP, perkhidmatan feri ikonik dan warisan sedia ada akan ditamatkan bermula 1 Januari depan yang mana kenderaan empat roda tidak lagi dapat menggunakan perkhidmatan tersebut.
Bermula tarikh sama juga, feri ikonik sedia ada hanya boleh digunakan oleh penunggang basikal dan motosikal manakala bot laju akan digunakan oleh penumpang individu.
Ditanya berkenaan kekeliruan yang timbul itu, Kon Yeow berkata, pihaknya tidak mengetahui apa yang dibincangkan di peringkat Kerajaan Pusat, namun bagi pihak kerajaan negeri tetap dengan pendirian supaya perkhidmatan feri ikonik dan warisan berkenaan perlu dikekalkan.
Dalam pada itu, ditanya sama ada pelan menamatkan perkhidmatan feri ikonik berkenaan adalah tindakan anak tiri oleh Kerajaan Pusat, Kon Yeow berkata, pihaknya berharap mendapat penghargaan sewajarnya daripada sumbangan ekonomi dan pembangunan oleh kerajaan negeri kepada negara.
Jelas beliau, Pulau Pinang boleh menyumbang lebih baik kepada negara sekiranya mendapat sokongan seperti kelulusan projek dan jaminan pinjaman daripada Kerajaan Pusat.
“Jika Kerajaan Pusat menghargai sumbangan kita kepada pembangunan dan ekonomi kepada negara, maka kerajaan perlu luluskan dana untuk kita teruskan projek yang mana sokongan itu juga adalah sokongan untuk rakyat Malaysia.
“Kita tidak pernah menafikan bantuan dana tahunan yang diberikan Kerajaan Pusat menerusi bajet atau rancangan pembangunan Malaysia, cuma kita berharap dapat lebih apa yang diberi sebelum ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE