KUALA LUMPUR: Sehingga suku kedua tahun 2020, kadar rizab margin air terawat adalah pada tahap 11.5 peratus bersamaan 1,943 juta liter sehari.
Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Dr. Ahmad Masrizal Muhammad berkata, pihaknya menetapkan Indeks Prestasi Utama (KPI) rizab margin yang perlu dipatuhi dan dicapai operator air setiap negeri adalah sebanyak 10 hingga 15 peratus.
Katanya, sehingga suku kedua tahun 2020 terdapat enam negeri merekodkan kadar rizab margin air terawat di bawah 15 peratus iaitu Johor (11.3%); Sabah (8.3%); Perlis (7.1%); Selangor (1.5%); (Kelantan -0.2%) dan Kedah (-2.3 %).
“Beberapa langkah telah dilaksanakan bagi meningkatkan kadar rizab air terawat bagi negeri-negeri tersebut seperti pembinaan loji rawatan air baru dan menaik taraf loji rawatan air sedia ada supaya kapasiti pengeluaran loji rawatan air dapat dipertingkatkan.
“Di samping itu, pelaksanaan program melibatkan kerja penggantian paip usang dan pembaikan tangki perkhidmatan yang rosak giat dilaksanakan,” katanya dalam sesi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Ahmad Nazlan Idris (Jerantut-BN) yang meminta kerajaan menyatakan inisiatif mengatasi margin air terawat yang kini berada pada tahap terendah. – UTUSAN ONLINE