KEMAMAN: Enam beranak di Kampung Geliga Jambatan di sini tinggal bergelap selama dua tahun kerana tidak mampu membiayai kos pemasangan elektrik di kediaman mereka.
Zamri Besar, 52, berkata, hatinya sebak melihat kesukaran empat anaknya yang berusia tujuh hingga 12 tahun menyiapkan kerja sekolah dan mengulangkaji pelajaran dengan hanya bergantung kepada lilin atau lampu suluh pada setiap malam.
“Kadang-kadang menitis air mata saya, mereka rajin belajar tetapi saya tidak mampu memberikan keselesaan kepada keluarga.
“Banyak kali anak-anak dan isteri tersungkur kerana tersepak barang-barang semasa berjalan ke tandas pada waktu malam,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.
Kesempitan hidup Zamri yang turut menderita penyakit angin ahmar sejak beberapa bulan lalu, bagaimanapun mendapat pembelaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai, Hanafiah Mat apabila kediaman mereka yang dahulunya gelap kini disinari cahaya lampu.
Bapa kepada lima anak itu berterima kasih atas keprihatinan wakil rakyat kerana sekurang-kurangnya mereka sekeluarga tidak perlu lagi bimbang ancaman binatang berbisa seperti ular dan lipan pada waktu malam kerana lokasi rumah di pinggir sungai.
Katanya, sebelum ini mereka sekeluarga menghuni di kuarters syarikat perkayuan tempatnya bekerja, namun kerana kekangan kewangan untuk menyewa rumah lain akibat sudah berhenti kerja, maka dia mengambil risiko membina kediaman di atas tanah milik kerajaan sejak dua tahun lalu.
“Masa itu saya hanya fikir kami sekeluarga memerlukan tempat tinggal dan apabila rumah sudah siap saya tidak mampu menanggung kos pemasangan elektrik.
“Anak sulung, Nur Aida, 29, dan suaminya turut membina pondok kecil bersebelahan rumah dan berdepan nasib sama tinggal dalam keadaan bergelap,” katanya.
Sementara itu, Hanafiah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri berkata, lebih RM2,000 dibelanjakan bagi kerja-kerja pendawaian dan pemasangan meter elektrik di kediamann tersebut.
Katanya, kerajaan negeri turut memberi kebenaran kepada keluarga itu untuk tinggal buat sementara di atas tanah milik kerajaan.
“Sudah beberapa kali saya turun padang melihat keluarga ini dan membawa perkara ini dalam mesyuarat jawatankuasa tanah daerah, bagaimanapun kerja-kerja pemasangan elektrik mengambil masa berikutan kekangan Covid-19,” katanya. -UTUSAN ONLINE