Empat ditahan disyaki tembak, kerat kerbau - Utusan Malaysia

Empat ditahan disyaki tembak, kerat kerbau

MAZLAN HASSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Empat lelaki yang mempunyai rekod jenayah lampau dan penyalahgunaan dadah ditahan kerana disyaki terlibat mencuri kerbau di Jalan Ulu Tembeling di sini baru-baru ini.

Ketua Polis daerah, Superintenden Mazlan Hassan berkata, berdasarkan siasatan dan maklumat diterima, empat suspek berusia 35 hingga 58 tahun itu ditahan pada Ahad lalu.

“Keempat-empat suspek ditahan dalam serbuan di sebuah kebun di Ulu Tembeling dan kesemua mereka direman di Mahkamah Maran.

“Polis turut merampas sebuah pancuan empat roda dan lain-lain barang kes manakala siasatan masih diteruskan,” katanya di sini hari ini.

Dalam kejadian terbaharu pada Rabu lalu, tiga ekor kerbau ditembak dan dilapah di Jalan Ulu Tembeling yang menimbulkan keresahan dalam kalangan penduduk kampung.

Bagaimanapun, pencuri hanya sempat melarikan seekor setengah selepas terserempak dengan penduduk kampung yang lalu di situ.

Menurut Mazlan, kes itu disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan, Seksyen 511 Kanun Keseksaan dan 506 Kanun Keseksaan.

Katanya, berdasarkan siasatan awal suspek disyaki cuba bertindak mencuri tiga ekor kerbau dengan cara menembak dan sembelih.

Tambahnya, ujian saringan air kencing mendapati dua suspek didapati positif dadah. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN