Empat pemuda didakwa bunuh bekas pegawai MARDI - Utusan Malaysia

Empat pemuda didakwa bunuh bekas pegawai MARDI

EMPAT tertuduh yang didakwa membunuh bekas pegawai MARDI dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur di sini hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Empat pemuda dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini sebentar tadi atas tuduhan membunuh bekas Pengarah Bahagian Teknologi Maklumat Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Dr. Wan Hassan Wan Embong, dua minggu lalu.

Tertuduh terdiri daripada S. Vickeswaran, 22, M. Ravindran, 23, P. Kogilan, 23, dan T. Sugu, 27, didakwa membunuh pesara kerajaan itu di antara pukul 3.35 pagi dan 4 pagi, 29 November lalu di sebuah rumah beralamat No. 9, Jalan Mambu, Bukit Bandaraya di sini.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun yang sama yang memperuntukkan hukuman gantung mandatori. 

Tiada pengakuan dicatatkan selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka.

Majistret Wong Chai Sia menetapkan 9 Mac tahun depan bagi mendapatkan laporan forensik kes berkenaan.

Terdahulu, sebelum mahkamah mula bersidang seorang wanita dipercayai ibu kepada salah seorang dilihat menangis ketika kesemua tertuduh dibawa masuk ke kandang tertuduh.

Akhbar melaporkan, dalam kejadian itu rumah yang dihuni oleh Dr. Wan Hassan, 73, dan isteri, Sarifah Yusof, 70, dipecah masuk dua lelaki bersenjata parang dan meminta wang.

Mangsa cuba melawan sebelum ditetak di muka dan leher manakala, isteri mangsa ditetak di bahagian bahu kanan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN