PUTRAJAYA: Kementerian Pembangunan Luar Bandar mensasarkan hasil jualan RM5 juta melalui penganjuran Jualan Mega Karnival Usahawan Desa secara dalam talian 2020 (eKUD@KPLB 2020).
Menterinya, Datuk Dr. Abd. Latiff Ahmad berkata, jualan mega yang berlangsung selama tiga hari sejak semalam menyaksikan sebanyak lebih 300 tapak maya dengan 1,500 produk diketengah membabitkan pelbagai jenis makanan, kosmetik, produk spa dan barang gaya hidup.
Katanya, orang ramai boleh berinteraksi secara terus dengan para usahawan dan pempamer bagi mendapatkan maklumat lanjut.
“Urusan jual beli berlaku melalui pelbagai platform e-Dagang yang ada di negara ini manakala usahawan yang masih belum menyertai mana-mana platform e-Dagang, urusan jual beli berlaku di akaun Facebook dan Instagram usahawan di mana semua capaian kepada akaun mereka dikumpul dalam satu bentuk direktori dipanggil eKEDAI.
“Malah sebanyak 145 pertemuan dijadualkan melalui padanan perniagaan dengan kerjasama strategik bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE),” katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya hari ini.
Mengulas lanjut, Abd. Latif, berkata situasi negara dilanda wabak Covid-19 mendekatkan kementerian dengan usahawan yang mahu memasarkan produk masing-masing.
“Kebanyakan usahawan dari desa takut atau tidak tahu cara memasarkan produk mereka maka dengan adanya platform yang disediakan, sudah pasti ia memudahkan penjualan.
“Inilah peranan kami di kementerian yang menyediakan peluang 24 jam perniagaan atas talian setiap hari. Kita juga berharap usaha ini daat diteruskan dengan produk di bandar selain produk dari Desa yang ada setakat ini,” katanya. -UTUSAN ONLINE