Eksploitasi harga antara punca masalah bekalan benih padi - Utusan Malaysia

Eksploitasi harga antara punca masalah bekalan benih padi

KANGAR, 04 Disember 2020 - Nurulhisham Yaakob Pemberita Hafiz
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR : Eksploitasi harga antara pengeluar dan ejen selain pembelian panik benih padi dalam kalangan pesawah khususnya pada musim kedua tanaman menjadi antara faktor masalah kekurangan bekalan dan kenaikan harga benih itu berlaku.

Pengerusi Jawatan kuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Nurulhisham Yaakob berkata, antara faktor lain seperti kecenderungan petani memilih benih daripada variasi tertentu, kesukaran mendapat benih padi subsidi di pasaran selain pesawah tidak mengikut jadual penanaman yang disyorkan pihak berwajib.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan telah mengatur beberapa langkah bagi mengatasi masalah tersebut antaranya dengan mengemas kini dan meneliti perancangan penanaman supaya selaras dengan keperluan dan permintaan benih padi setiap musim.

“Selain itu, mengemas kini stok bekalan benih padi sah secara mingguan, mengaktifkan kesemua agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan untuk lebih sensitif dan responsif terhadap isu berkaitan serta membuat pemantauan berkala,” katanya dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis di sini hari ini.

Sebelum ini, ribuan pesawah dari negeri ini dianggarkan mengalami kerugian mencecah RM48 juta satu musim berikutan masalah kelewatan serta kekurangan bekalan benih padi yang dikatakan berlarutan sejak 10 tahun lalu.

Masalah tersebut khususnya berlaku pada musim kedua tanaman padi sekitar bulan September hingga Oktober menyebabkan hasil padi merosot sehingga 50 peratus.

Jika tidak berlaku masalah kelewatan serta kekurangan bekalan tersebut, para pesawah di Perlis dikatakan mampu menghasilkan sekitar 80,000 hingga 100,000 tan metrik hasil padi setiap musim dengan nilai hampir RM100 juta membabitkan tanaman di kawasan seluas 16,000 hektar di seluruh negeri ini.

Sementara itu, Nurulhisham berkata, kerajaan sentiasa peka dan memandang serius isu kawalan kualiti benih padi agar tidak memberi kesan kepada para pesawah.

Katanya, pada masa ini, mekanisme pengeluaran dan pembekalan benih padi sah dilaksanakan oleh semua syarikat pengeluar benih padi yang dilantik oleh kerajaan.

“Pada tahun 2020, sebanyak sembilan buah syarikat pengeluar benih padi dilantik oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan dan tempoh pelantikan tersebut akan berakhir pada 31 Disember 2020,” katanya.

Katanya lagi, berdasarkan pengumuman Kementerian Pertanian dan Industri Makanan baru-baru ini akan melakukan penstrukturan semula keseluruhan rantaian pengeluaran dan pengedaran benih padi dengan berteraskan beberapa inisiatif bermula tahun depan.

“Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) juga telah dilantik sebagai pemborong dan pembekal tunggal dalam program insentif benih padi sah dan pembekalan diedarkan terus kepada pesawah,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN