Ejen pekerja asing dipenjara 30 hari, denda RM10,000 - Utusan Malaysia

Ejen pekerja asing dipenjara 30 hari, denda RM10,000

Mohd Al-Ridhuan Ahmad Zaini (kanan) mengaku tidak bersalah atas 17 pertuduhan menerima rasuah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur di sini, hari ini. -UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Seorang ejen pekerja asing warganegara Pakistan dipenjara 30 hari dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen semalam atas kesalahan memberi suapan kepada pegawai Imigresen sebagai upah membantu melepaskan dua warga asing keluar dari negara ini.

Peniaga kain, Muhammad Irfan, 34, mengaku bersalah terhadap tuduhan pilihan memberi suapan berjumlah RM12,500 kepada Muhamad Faizal Ahmad yang merupakan Pegawai Imigresen di Unit Kawalan Pintu Masuk Udara di Pejabat Imigresen Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Perbuatan itu sebagai upah membantu melepaskan 20 warganegara Pakistan dan seorang warganegara Bangladesh untuk pulang ke negara asal tanpa diambil tindakan undang-undang.

Hakim Rozina Ayob memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara itu bermula hari ini dan dipenjara 30 hari lagi sekiranya gagal membayar jumlah denda itu.

Kesalahan itu dilakukan dalam kereta di hadapan sebuah restoran di Presint 8, Putrajaya dekat sini di antara pukul 3.25 petang dan 3.32 petang pada 16 November lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh 15 bulan daripada tempoh penjara maksimum lima tahun atau denda atau dengan kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mahadi Abdul Jumaat memohon tertuduh dikenakan hukuman penjara dan denda bagi mencerminkan keseriusan kes selain memberi pengajaran kepada tertuduh dan mesej kepada orangx ramai di luar sana.

Ujarnya, kes ini melibatkan keselamatan awam dan tertuduh berani memperjudikan diri untuk membuat proses pengeluaran 21 orang pendatang asing tanpa izin yang tinggal lebih masa di negara ini. 

Bagaimanapun tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya memohon dikenakan hukuman ringan dengan alasan perlu menanggung keluarga dan baru dikurniakan cahaya mata dua hari lalu dan urusan kelahiran anak belum dibuat.

Di mahkamah yang sama, seorang anggota imigresen mengaku tidak bersalah atas 17 pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM21,500 bagi membantu melepaskan warga asing yang melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen melalui pintu keluar udara Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2).

Bagi tuduhan pertama hingga 17, Mohd. Al-Ridhuan Ahmad Zaini, 35,  didakwa menerima suapan dengan jumlah keseluruhan RM21,500 daripada seorang wanita melalui akaun Maybank dan CIMB dengan 17 transaksi ke akaun Bank Muamalat sebuah syarikat milik isteri tertuduh.

Suapan itu adalah upah untuk diri tertuduh sebagai Pegawai Imigresen bagi membantu melepaskan warga asing yang melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) untuk keluar daripada negara Malaysia melalui pintu udara KLIA2, tanpa diambil tindakan undang-undang.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan Tasik Utama, Medan Niaga Tasik Damai, di sini antara 25 Julai hingga 11 November 2020.

Bagi kesemua kesalahan pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) dan dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang boleh memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan lima kali ganda suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri di pejabat SPRM sekali setiap bulan, menyerahkan pasport kepada mahkamah dan tertuduh dilarang menganggu mangsa.

Sebutan ditetapkan pada 12 Januari tahun depan.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya