E-Kraf Bazar bantu jual produk komuniti lebih RM10 juta - Utusan Malaysia

E-Kraf Bazar bantu jual produk komuniti lebih RM10 juta

'AINU SHAM RAMLI (kiri) menunjukkan antara produk kraf dihasilkan kepada Kamruddin Domat selepas majlis penutup Program Pembangunan Kemahiran Komuniti (PPKK) Kraf Batik dan Jahitan di Pusat Kejiranan Presint 9, Putrajaya hari ini. - UTUSAN/AMREE AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kraftangan Malaysia berjaya mengoptimumkan penggunaan kaedah platform digital E-Kraf Bazar bagi bantu usahawan kraf tempatan memasarkan produk dengan lebih luas.

Malah apa yang lebih membanggakan, meskipun baru sahaja dilancarkan pada 8 April lalu, nilai jualan dicatatkan sehingga 30 November lalu mencecah RM10.4 juta.

“Kami sendiri pun tidak menang tangan kerana permintaan memang sentiasa tidak putus,” kata Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Kraftangan Malaysia, ‘Ainu Sham Ramli.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis penutup Program Pembangunan Kemahiran Komuniti (PPKK) Kraf Batik dan Jahitan di Pusat Kejiranan Presint 9 di sini hari ini.

Program selama dua hari melibatkan 20 peserta dianjurkan bersama Perbadanan Putrajaya (PPj) itu dirasmikan Naib Presiden (Perkhidmatan Bandar) PPj, Kamaruddin Domat.

‘Ainu Sham berkata, kejayaan itu membuktikan pelaksanaan wadah maya E-Kraf Bazar sebagai berkesan dalam menjana ekonomi peserta tanpa perlu kos besar.

“Platform ini walaupun baru berusia lapan bulan, ia telah disertai 13,878 ahli aktif dan daripada jumlah itu, seramai 1,302 orang merupakan usahawan kraf dari seluruh negara,” jelas beliau.

Pada masa sama, Kraftangan Malaysia turut memiliki akaun sosial MyCraftShope yang berjaya menghimpunkan 300 pemain industri kraf dengan lebih 2,900 produk.

Sambutan agak menggalakkan itu melibatkan usahawan kraftangan, pembekal dan komuniti produk terbabit dalam usaha agensi itu mewujudkan jaringan pemasaran lebih bersepadu.

“Melalui inisiatif terbaharu itu, Kraftangan Malaysia berharap, ia dapat menolong pengusaha tempatan meningkatkan produktiviti pengeluaran agar lebih berdaya saing,” jelasnya.

‘Ainu Sham menambah, bagi meningkatkan hasil produk, sebanyak 154 aktiviti PPKK dilaksanakan bermula 15 September sehingga 17 Disember lalu dengan melibatkan seramai 1,594 peserta.

Kesemuanya dibantu dari segi pemerolehan bahan secara percuma, selain bimbingan latihan dan pemasaran oleh Karyaneka Sdn. Bhd., anak syarikat Kraftangan Malaysia.

“Lebih membanggakan, produk dihasilkan mereka turut mencapai standard tinggi yang setaraf pengeluar asing di samping dapat permintaan tinggi daripada peminat kraf,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya