BUKIT MERTAJAM: Ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) mula diperkenalkan Mac lalu susulan pandemik Covid-19, perniagaan Shariff Syahidan Shariff Ahmad, 46, antara yang paling teruk terkesan.
Shariff Syahidan yang menjalankan perkhidmatan mengurut bukan sahaja kehilangan mata pencariannya akibat ketiadaan pelanggan, malah terpaksa merelakan perniagaan itu ditutup buat sementara waktu selama hampir enam bulan.
Sepanjang tempoh itu juga, bapa kepada tiga anak itu tidak pernah duduk diam sebaliknya terus melakukan pelbagai pekerjaan untuk menyara kehidupan keluarganya.
Dia yang pernah berkhidmat sebagai seorang kontraktor sebelum itu bagaimanapun kini bangkit untuk meneruskan perniagaan urutannya biarpun mungkin tidak serancak dulu.
“Dulu (sebelum Covid-19), secara puratanya saya mampu merawat hingga enam orang pelanggan (pesakit) seminggu.
“Alhamdulillah, pelanggan masih ada sekarang walaupun tidak banyak dan saya hanya menjalankan sesi urutan pada sebelah malam atau jika menerima tempahan pada hujung minggu sahaja,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Selain urutan biasa, Shariff Syahidan yang pernah berkhidmat sebagai juruterapi naturopati di sebuah pusat rawatan ayurveda di Selangor itu juga boleh merawat masalah berkaitan saraf, tulang rawan tergelincir atau slip disc dan masalah kelakian.
Beroperasi di Permatang Batu di sini, dia turut menjalankan aktiviti berbekam serta menjual pelbagai jenis ubat-ubatan termasuk berkaitan resdung, urat saraf dan krim untuk mereka yang menghadapi masalah kulit seperti ekzema dan sebagainya.
Katanya, seperti perniagaan lain ketika ini, dia beroperasi mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan seperti memeriksa suhu pelanggan dan menggunakan alat sanitasi tangan sebelum memulakan urutan.
“Bagi pasaran ubat pula, biasanya saya lebih gemar menjualnya secara online melalui ejen-ejen yang dilantik terutamanya dalam Facebook,” ujarnya yang juga pernah bekerja sebagai seorang juruteknik sebelum ini.
Ujar Shariff Syahidan, impiannya ketika ini ialah untuk terus membantu insan yang memerlukan khususnya menerusi perkhidmatan urutan yang disediakannya.
“Jika perlu dan mendapat sambutan menggalakkan selepas ini, mungkin saya akan memulakan perkhidmatan (urutan) secara bergerak pula,” katanya yang boleh dihubungi menerusi talian 018-2340300 dan 017-5604208 untuk keterangan lanjut. -UTUSAN ONLINE