TAPAH: Wira Senoi Praaq, Sarjan Norihan Tari, 39, masih sukar melupakan peristiwa berbalas tembakan dengan penyeludup termasuklah riak wajah mendiang Sarjan Baharuddin Ramli yang memberikan arahan terakhir memintanya supaya mendapatkan bantuan.
Dalam keadaan menahan kesakitan setelah ditembak musuh, mendiang Sarjan Baharuddin masih bertanyakan keadaan keselamatan dirinya beberapa kali semasa sama-sama melepaskan tembakan ke arah kumpulan penyeludup.
“Sebelum bergerak keluar pula dia masih lagi berpesan agar saya berhati-hati dan menjaga diri serta berharap saya dapat keluar dengan selamat.
“Saya hanya mengetahui tentang mendiang Sarjan Baharuddin selepas dua hari selesai pembedahan di Hospital Pulau Pinang (HPP).
“Kehilangan beliau sangat-sangat saya rasai,” katanya ketika ditemui pemberita di Kem Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (Bn 3 PGA) Senoi Praaq di sini hari ini.
Beliau ditemui selepas Majlis Lawatan Kebajikan Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Pengaman Malaysia, Datuk Kamaruddin Mat Desa yang turut dihadir Pegawai Pemerintah Bn 3 PGA Senoi Praaq, Superintenden Rosman Kasman di sini hari ini.
Pada majlis tersebut, Kamaruddin menyampaikan sumbangan kepada Sarjan Norihan dan isteri mendiang Sarjan Baharuddin, Relow Ko.
Menurut Norihan, keadaan kesihatannya bertambah baik dan beliau kerap melakukan pergerakan termasuk berjalan seperti dinasihatkan doktor supaya paru-parunya dapat kembali berfungsi dengan baik.
Beliau yang masih berpantang juga hanya makan bubur nasi dan berlaukkan sup ikan harian bagi memulihkan kesan parut akibat tembakan penyeludup iaitu satu pada bawah ketiak dan dua di perut.
“Kesan pembedahan masih ada di mana saya cepat terasa penat bila berjalan.
“Saya akan melakukan rawatan susulan di HPP pada 22 hingga 23 Disember ini bagi bertemu dengan doktor pakar usus dan doktor pakar tulang untuk mengetahui keadaan diri selanjutnya,” katanya.
Hanya sebutir peluru berdekatan paru-paru dikeluarkan semasa menjalani pembedahan manakala dua lagi butir peluru yang menembusi tulang belakang pada bahagian pinggul tidak dapat dikeluarkan kerana bimbang boleh menyebabkan lumpuh.
Dalam kejadian pada pukul 3.10 pagi 24 November lalu, Norihan dan mendiang Sarjan Baharuddin, 54, berbalas tembakan dengan penyeludup sewaktu melakukan rondaan Ops Benteng berhampiran pos TS9 Padang Besar, Perlis.
Bagaimanapun, Baharuddin terkorban dalam insiden itu selepas ditembak di perut, manakala Norihan yang turut terkena tembakan sempat berlari sejauh 1.2 kilometer untuk mendapatkan bantuan di pos TS9 sebelum dihantar ke hospital. -UTUSAN ONLINE