Dua lelaki ditahan bersama dadah seberat 13.37KG - Utusan Malaysia

Dua lelaki ditahan bersama dadah seberat 13.37KG

Ayob Khan Mydin Pitchay
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Polis Johor berjaya memberkas dua lelaki tempatan yang dipercayai merupakan ahli sindiket pengedaran dadah dalam dua serbuan yang dibuat di Seri Alam di sini pada Ahad lalu.

Ketua Polis negeri, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, turut dirampas dalam serbuan berkenaan adalah dadah jenis heroin seberat 13.77 kilogram (KG) bernilai RM153,178.

Menurut beliau, kedua-dua suspek yang ditahan berusia 31 dan 38 tahun.

“Pada 20 Disember lalu, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor dengan JSJN Bukit Aman telah melancarkan dua serbuan di sekitar Seri Alam.

“Dua lelaki ditahan dalam serbuan itu, bersama dadah jenis heroin seberat 13.37 kg bernilai RM153,178,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah beliau, ujian saringan air kencing yang dijalankan turut mendapati kedua-dua suspek positif penyalahgunaan dadah manakala seorang daripada mereka memiliki rekod jenayah lampau.

“Dalam serbuan berkenaan, polis turut menyita barangan lain antaranya wang tunai RM11,133, seutas barang kemas bernilai RM9,600 dan empat buah kenderaan.

“Kesemua barang yang disita dianggarkan bernilai RM185,775. Manakala nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan barang dianggarkan sebanyak RM338,953,” ujarnya.

Ayob Khan turut memberitahu, kedua-dua suspek dikenakan tahanan reman selama tujuh hari bermula semalam hingga 27 Disember ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sehubungan itu, beliau turut memohon kerjasama orang awam untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti jenayah yang berlaku di persekitaran mereka. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya