ALOR SETAR: Dua istana lama yang terbiar iaitu Istana Tunku Kudin di Kubang Pasu dan Istana Sepachendera di sini akan dipulihara dalam usaha memastikan khazanah lama yang bersejarah itu dipertahankan bagi generasi akan datang.
Pengarah Lembaga Muzium Negeri Kedah (LMNK), Suhaidi Shukri berkata, sebagai langkah pertama, pihaknya mengadakan perbincangan dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) di Kubang Pasu untuk mengadakan aktiviti gotong-royong membersihkan persekitaran di Istana Tunku Kudin yang terletak di Bukit Pinang itu.
“Istana Tunku Kudin itu kita akan buat pembersihan dahulu dan perbincangan sudah diadakan dengan pihak Majlis Perbandaran Kubang Pasu (MPKP). Tarikhnya kita akan tetapkan nanti.
“Sementara bagi Istana Sepachendera pula, kita akan adakan perbincangan dengan beberapa pihak termasuk PBT dan kerajaan negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Lembaga Muzium Negeri Kedah dengan Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Muzium Negeri di sini hari ini.
Pada majlis MoU itu, LMNK diwakili Pengarah LMNK, Suhaidi manakala UiTM diwakili Rektor UiTM Kedah, Prof. Dr. Mohamad Abdullah Hemdi.
Suhaidi berkata, kedua-dua istana berkenaan signifikan dalam usaha mempertahankan sejarah negeri ini.
“Kita mengharapkan peruntukan daripada kerajaan dalam memastikan ia terus dipulihara terutama untuk generasi akan datang,” katanya.
Dua istana tersebut meraih perhatian warganet terutama dalam kalangan penduduk Kedah yang berpandangan ia wajar dipertahan dan dipulihara.
Istana Tunku Kudin dimiliki Tunku Dhiauddin Sultan Zainal Rashid atau lebih dikenali sebagai Tunku Kudin, Raja Muda Kedah ketika pemerintahan abangnya, Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Shah pada 1854 hingga 1879.
Sementara, Istana Sepachendera dikhabarkan dibina Sultan Kedah ke-25, Sultan Abdul Hamid Halim Shah, ketika era pentadbirannya pada 1882 hingga 1943, sebagai lambang kasih seperti Taj Mahal.
Dalam pada itu, Suhaidi memberitahu, MoU antara LMNK dan UiTM itu dalam usaha memperkasa galeri muzium-muzium di negeri ini.
Menurutnya, MoU tersebut akan membolehkan LMNK dan UiTM bekerjasama dalam beberapa program dan aktiviti dalam aspek sejarah serta muzium.
“Ia akan membolehkan pihak LMNK dan UiTM menganjurkan aktiviti termasuk kaji selidik agar ia beri impak tinggi kepada muzium di Kedah ini melalui kepakaran UiTM,” katanya. -UTUSAN ONLINE