Dua beranak, rakan edar ketum guna bas ekspres ditahan - Utusan Malaysia

Dua beranak, rakan edar ketum guna bas ekspres ditahan

AHMAD Shukri Mat Akhir (kiri) menunjukkan sebahagian daun ketum yang dirampas selepas memeriksa bahagian tempat letak barang bahagian bawah sebuah bas ekspres di IPD Kota Setar, Alor Setar hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Cubaan tiga lelaki termasuk dua beranak mengedar sebanyak 572 kilogram (kg)  daun ketum dengan menggunakan bas ekspres gagal apabila ditahan di Terminal Bas Shahab Perdana di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, dua beranak terbabit  berusia 51 dan 27 tahun merupakan pemandu serta pembantu pemandu bas ekspres terbabit manakala seorang lagi rakan mereka berusia 33 tahun ditahan pada pukul 8.40 malam.

Menurutnya, daun ketum bernilai RM5,000 yang diperoleh dari Kuala Nerang, Padang Terap itu dipercayai ingin diedarkan ke Melaka dan Johor.

“Hasil pemeriksaan di ruang tempat letak barang bahagian bawah bas itu, polis menjumpai 11 beg kanvas dan lapan plastik sampah berwarna hitam yang mengandungi daun ketum.

“Kesemua daun ketum tersebut juga diikat dengan getah yang berjumlah 2,149 ikatan dan sekiranya diproses boleh membekalkan air ketum kepada 10,000 orang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar di sini hari ini.

Ahmad Shukri berkata, siasatan juga mendapati dua beranak tersebut telah menjalankan kegiatan pengedaran duan kerum dengan menggunakan bas ekspres tersebut sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lalu.

“Dua beranak itu dipercayai mengedarkan daun ketum untuk pasaran Melaka dan Johor dengan menggunakan bas ekspres berkenaan sebanyak dua kali sebulan,” katanya.

Bagaimanapun, tambahnya, ujian saringan air kencing ketiga-tiga lelaki itu didapati negatif dadah dan mereka tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

“Ketiga-tiga tangkapan itu telah direman selama empat hari bermula hari ini untuk membantu siasatan,” katanya.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 dan jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM10,000. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya