KUANTAN: Prihatin dengan nasib dua anak lelaki Allahyarham Mejar Mohd. Zahir Armaya iaitu Mohamad Remy Iskandar, 9, dan Mohamad Ebel Zulkarnain, 10, Yayasan Pelajaran Mara (YPM) tampil menyampaikan sumbangan kepada mereka.
Bantuan berkenaan disampaikan oleh Pegawai Majlis Amanah Rakyat (Mara) daerah, Amalurramzan Ab. Manan.
Amalurramzan berkata, sebanyak tiga jenis bantuan diberikan kepada dua kanak-kanak berkenaan.
“Pertama, Bantuan Skim Persekolahan Menengah Rendah YPM one-off RM300 setiap seorang kepada dua anak Allahyarham yang bersekolah di Sekolah Kebangaaan (SK) Kempadang.
“Kita juga menyampaikan bantuan Mara Prihatin 2020 berupa barang keperluan harian seperti beras, selain itu kita juga akan membuat permohonan Skim Anak Angkat YPM kepada anak arwah,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan itu di sini hari ini.
Amalurramzan berkata, berhubung Skim Anak Angkat YPM berkenaan, jika diluluskan ia akan bermula pada tahun depan yang mana permohonan dibuat untuk Mohamad Remy Iskandar.
“Menerusi skim ini, kita akan beri bantuan persekolahan sebanyak RM80 sebulan dan setahun RM960. Kita akan bantu dari sekolah rendah sehingga tamat tingkatan lima.
“Bantuan untuk skim ini hanya untuk murid yang belum terima mana-mana biasiswa,” katanya.
Sementara itu, ibu kanak-kanak berkenaan, Jamilah Ismail, 38, berkata, dia bersyukur kerana YPM prihatin terhadap anak dua anak lelakinya. -UTUSAN ONLINE