CAMERON HIGHLANDS: Hasrat peladang sayur di sini untuk memiliki beg tangan berjenama lebur apabila dia kerugian RM9,000 diperdaya penjualnya.
Sebelum kejadian, lelaki berusia 29 tahun itu melayari laman sosial Instagram pada November lalu dan tertarik untuk membeli beg tangan yang diiklankan di paparan akaun seorang wanita.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Superintenden Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, mangsa terus menghubungi pemilik akaun Instagram tersebut untuk pembelian.
“Semasa menghubungi suspek, mangsa memaklumkan persetujuan membeli beg berharga RM9,000 melalui dua kali pembayaran.
“Mangsa melakukan pemindahan wang RM4,500 untuk pembayaran pertama ke akaun bank milik seorang lelaki,” katanya dalam kenyataan di sini.
Mohd. Wazir berkata, mangsa kemudian menyelesaikan bayaran baki RM4,500 ke dalam akaun lelaki berlainan pada 14 Disember lalu.
Ujarnya, mangsa sekali lagi menghubungi suspek melalui Instagram untuk bertanya tentang nombor siri penghantaran beg tersebut.
“Selepas bertanya mengenai nombor siri kurier penghantaran, suspek terus menyekat akaun Instagram mangsa,” katanya.
Menyedari tertipu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Kampung Raja di sini semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. -UTUSAN ONLINE